Friday, October 26, 2007

Tanggungjawab Ibu Bapa Elakkan Remaja Berzina

BICARA REMAJA

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA ELAKKAN REMAJA BERZINA
Oleh
Mohd Ali Mahmood

APABILA anak remaja hamil di luar nikah, banyak pihak yang akan cepat menuding jari pada remaja itu dan juga menyalahkan soal disiplin dalam keluarganya.

Tetapi bagi pihak keluarga itu sendiri, kadangkala mereka akan beranggapan segala sesuatu sudah dilakukan untuk anak itu namun kejadian yang tidak diingini tetap juga berlaku.

Jadi di manakah salah silapnya?

Mungkinkah kita sendiri yang melahirkan generasi liberal tanpa kita sedari? Hakikatnya, banyak perkara yang kita sendiri lakukan yang mungkin mendekatkan anak remaja kepada zina.

Mengapakah kita harus mempersalahkan si remaja itu sahaja sedangkan kehidupan tanpa batas didedahkan seperti sesuatu yang lumrah?

Dalam satu pihak, dalam peralihan tamadun, banyak perkara masih terus dianggap 'pantang' atau 'dilarang' untuk diketengahkan.

Tetapi pada satu pihak lain, anak-anak kian mendapat pendedahan yang meluas di media massa, namun ia tidak dibincangkan secara terbuka oleh orang tua mereka.

Sudahkah kita mengira beberapa banyak rancangan televisyen, filem dan video yang anak remaja kita tontoni yang menunjukkan budaya pergaulan bebas?

Malah, sebahagiannya rancangan Melayu kita sendiri. Walaupun ia sekadar lakonan untuk menunjukkan realiti kehidupan, bukankah ini akan menjadi ikutan jika anak menonton tanpa bimbingan?

Sementara itu, kita turut sama bersorak riang melihat juara pertandingan. Tapi kita lupa untuk menyelar anak-anak muda yang berdakapan di antara lelaki dengan perempuan untuk 'memberi perangsang' setelah mereka kecundang.

Jika diam tandanya setuju, maka kitalah yang telah mengizinkan tingkah laku ini sebagai norma kehidupan anak-anak. Pokoknya, 'CDROM' minda anak kita sudah pun merakamkannya.

Kitalah yang membuka mata mereka kepada perhubungan sumbang. Ingatlah, zina tidak berlaku secara spontan. Remaja akan mula berjinak-jinak dengan kelakuan sumbang secara bertahap-tahap bermula daripada sekadar menunjukkan kemesraan.

Daripada berpegangan tangan, ia menjurus kepada pelukan dan ciuman. Daripada secara tersembunyi-sembunyi ia beralih kepada keterbukaan.

Adakah kita yang melihat sekadar menggeleng-gelengkan kepala tetapi tidak kuasa untuk menegur kerana 'tidak mahu masuk campur' atau 'takut diherdik'?

Aksi membatu membuat remaja beranggapan ia satu penerimaan.

Oleh itu, tanyakan kepada diri kita sendiri, pernahkah kita membenarkan anak remaja kita keluar berdua-duaan, bermalam di rumah kawan atau membawa temanitanya bermalam di rumah kita?

Adakah anak-anak kita bebas membawa pulang temannya semasa kita tiada di rumah? Pernahkah kita membiarkan si remaja berdua-duaan tanpa dipantau atau ditegur?

Pokoknya, adakah wajar kita menuding jari jika kita sendiri menganggap perbuatan ini biasa-biasa sahaja? Adakah sikap toleransi kita dewasa ini semakin menebal?

Apabila batas perhubungan antara lelaki dengan perempuan menjadi rencam, nafsu berahi mampu mempengaruhi kelakuan. Malangnya, si remaja yang dibesarkan dengan nilai yang rapuh sudah pun pincang dalam 'peperangan'.

Setiap di antara kita ada peranan untuk mengelakkan remaja daripada zina. Mari kita memperbaiki diri kita dahulu. Mari kita menitikberatkan perkembangan anak-anak remaja kita.

Nota: Penulis ialah Pengarah Pusat Khidmat Keluarga PPIS Jurong.

[Ditukil dari Berita Harian (Singapura), 25 Oktobe 2007]

No comments: