Tuesday, April 05, 2011

Ada Apa Dengan "Label" Diri?

Tidak dinafikan, label itu ada kalanya perlu.

Label "Melayu" akan memperkenalkan seseorang sebagai berbangsa, berbahasa dan berbudaya Melayu. Begitu juga dengan "label" Cina, India dan selainnya.

Ini akan menjadikan kita lebih peka akan perbezaan antara kita, sehingga jika diadakan kegiatan, kita memastikan tiada perkara yang mungkin menyinggung bangsa yang berlainan.

Begitu juga, bila diadakan jamuan, maka akan prihatin untuk pastikan ada hidangan yang halal (untuk orang Melayu yang pastinya Muslim), yang tiada daging lembu (peka terhadap "pantang larang" sebahagian orang Cina dan juga orang India terhadap daging lembu) dan yang vegetarian (bagi penganut Hindu dari kalangan orang India, juga sebahagian orang Cina).

Namun, seringkali juga kita ketepikan label ini. Dalam kehidupan seharian, kita lebih utamakan diri sebagai warga Singapura, bekerja dan beriadah bersama, membangunkan ekonomi dan negara. Lagi-lagi bila pilihan raya nak dekat. (Hehe, bergurau sahaja.)

Bererti, apabila ada sesuatu maslahat, maka sesuatu label itu perlu diketepikan. Malah, ada kalanya perlu ditinggalkan.

Misalnya, seperti yang berlaku di negara jiran. "Kami orang PAS!", sorak sekumpulan. "Kami orang UMNO!", teriak kumpulan lawan.

Sehingga kecoh sebab bila nak solat berjemaah pun sampai ada dua jemaah: satu jemaah PAS, satu jemaah UMNO. Bayangkan, dua jemaah dalam satu masjid! Subhanallah.

Kepada saudara kita di Malaysia, usahlah kita lupa akan "label" utama kita sebagai Melayu dan juga sebagai Muslim. Apakah wajar sesama Muslim bercakaran dan berpecah-belah?

Dalam situasi seperti ini, teramatlah wajar diketepikan, malah ditinggalkan "label" diri demi perpaduan ummah, bersolat dalam satu jemaah, kerana kita sesama Muslim.

Dan cakap tentang solat, mujur sekarang kita tidak begitu hiraukan tentang "label" mazhab fiqh, khususnya "Aku Syafie" dan "Aku Hanafi". Sehingga yang bermazhab Syafie enggan solat di belakang seorang Hanafi kerana khuatir dia telah melakukan sesuatu yang membatalkan wudhu' (menurut mazhab Syafie tetapi tidak menurut mazhab Hanafi). Begitu juga yang Hanafi tidak akan solat Asar di belakang seorang Syafie kerana belum masuk waktu (menurut mazhab Hanafi). Alhamdu lillah, mujur tidak berlaku lagi seperti ini, ataupun telah berkurangan.

Malah, dahulu, dikatakan penganut mazhab Syafie tidak boleh bernikah dengan penganut Hanafi. Dan ada pula fatwa yang membolehkan seorang lelaki Hanafi bernikah dengan seorang wanita Syafie dengan qiyas bolehnya lelaki Muslim bernikah dengan wanita Ahli Kitab. Makanya, dengan fatwa itu juga bererti lelaki Syafie tidak boleh bernikah dengan wanita Hanafi atas qiyas yang sama. Subhanallah, sampai begitu sekali.

Alhamdu lillah, mujur sekarang tidak lagi begitu. Dalam situasi seperti ini, memang wajar kita tinggalkan "label" diri dengan tetapi mengidentitikan diri sebagai Muslim.

Mungkin, atas dasar yang sama, boleh saya sarankan agar "label" Sufi dan Salafi ditinggalkan. (Saya pasti ada yang akan bantah dan marah.) Atau paling tidak, diketepikan dalam meraih maslahah memelihara perpaduan masyarakat Islam, dan atas dasar "wa ta'awanu 'ala al-Birr wa at-Taqwa" (dan bekerjasamalah atas kebaikan dan ketaqwaan).

Kerana yang lebih utama bukanlah label "Sufi" itu sendiri sehingga ada yang berkata, "Kami ahli Tasawwuf sedangkan kamu bukan", tetapi menghidupkan dan menyemaikan tazkiyyatun-Nafs (penyucian jiwa) dalam kehidupan seharian.

Kerana yang lebih utama bukanlah label "Salafi" itu sendiri sehingga ada yang berkata, "Kami Salafi, kamu bukan; kami berada pada kebenaran, kamu bukan", tetapi menghidupkan dan menyemaikan manhaj Salaf, yakni untuk berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan pemahaman Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in.

Kerana pada akhirnya, hanya satu label yang kekal pasti, sebagaimana tertera pada kad pengenalan dan passport, "Muslim". Kerana "label" inilah yang membawa erti penyerahan dan pengabdian kepada Yang Esa, mengikuti syariat Nabi Muhammad dan bersolat menghadap qiblat yang satu.

Wallahu a'lam

Ibn Shamsud-Deen
05042011

2 comments:

Anonymous said...

Saya setuju dengan Akhi dalam pekara ini. 'Label' yang diadakan hanya menyebabkan perpecahan dalam Ummah.

Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree said...

=)