Tuesday, April 05, 2011

"..sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim."

"Laa ilaaha illaa anta, Subhaanaka innii kuntu minazh-Zhaalimiin." (Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim.)

Ayat yang cukup masyhur, ramai pasti sudah tahu. Ayat yang biasanya dibaca dalam keadaan merasakan diri penuh dosa.

Kisah Nabi Yunus meninggalkan kaumnya kerana merasakan mereka tidak akan menerima dakwahnya.

Tatkala di dalam pelayaran bahtera, ribut taufan melanda. Barang muatan terpaksa dibuang ke laut demi menyelamatkan bahtera daripada karam.

Namun, ianya tidak memadai. Nakhoda memutuskan salah seorang daripada mereka terpaksa dibuang ke laut.

Undian dijalankan beberapa kali. Tiap kali terkena kepada Nabi Yunus.

Nabi Yunus merasakan inilah hukuman dari Allah kerana melarikan diri daripada tanggungjawab dakwah. Beliau rela dibuang ke laut.

Tatkala dibuang ke laut, ikan Nun (yang diibaratkan seperti ikan paus) memakannya. Selama di dalam perut ikan Nun, beliau bermunajat, khususnya membaca ayat ini. Menyatakan kekesalan, menyatakan keinsafan, mengharapkan rahmat dari Tuhan sekalian alam.

Ternyata ikan Nun membawanya ke pantai, pulang kepada kaumnya. Kaumnya telah insaf kerana khuatir datangnya azab setelah ditinggalkan Nabi Yunus. Mereka menyatakan keimanan mereka.

Pengajaran:
- ayat ini ayat motivasi, untuk membangunkan semangat yang telah patah, membangkitkan ikhtiar mereka yang berputus asa.

- manusia itu lemah, tak lepas daripada kesalahan dan kesilapan. Sentiasa memerlukan petunjuk daripada Tuhannya.

- Dengan mengakui kelemahannya sebagai hamba, lantas menyatakan dan meyakini Allah sebagai Tuhannya, sebagai Tuhan yang disembah, juga Rabbul 'Alamin, di situlah kekuatan, di situlah dorongan dan motivasi, di situlah dengan rahmatNya Allah menunjukkan jalan keluar bagi permasalahannya.

Wallahu a'lam.

(Nota ini asalnya diterbitkan di Facebook pada 6hb Mac 2011)

No comments: