Saya bukanlah seorang ustaz. Hanya pelajar biasa sahaja, yang masih banyak perlu dipelajari. Nota ini sekadar lintasan minda sebagai seorang pemerhati. Bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa atau membuat sebarang penyimpulan yang di luar batasan saya sebagai pelajar.
Yang saya musykil adalah bagaimana sebahagian orang berhujjah dengan "jumhur ulama" tentang sesuatu perkara untuk mempertahankan pendapat yang dipegangnya. Bukanlah saya nak katakan pendapat itu salah tetapi lebih kepada sikap tersebut.
Sebahagian orang dengan mudah mengatakan bahawa jumhur ulama mengharamkan muzik lantas menolak ulasan dan huraian sebahagian ulama yang tidak sependapat.
Saya tidak ingin mengulas tentang hukum muzik kerana memang panjang lebar perbahasan dan ulasannya. Saya bukanlah ahlinya untuk berbicara mengenainya. Saya lebih tenang hati untuk bertawaqquf dalam masalah ini.
Namun, apa yang ingin saya sentuh adalah sikap menjadikan pendapat jumhur ulama sebagai hujjah. Bukan salah, malah kekuatan hujjah itu memang ada pada jumhur. Namun, perlu kita faham bahawa sebahagian perkara, pendapat jumhur itu ditolak apabila ada dalil dan hujjah yang melemahkannya.
Maka, kepada pihak sedemikian, saya katakan saya hormati pandangan anda. Memang, dengan pendapat jumhur ulama itu sendiri menjadi satu hujjah yang kuat.
Namun, saya ingin timbulkan satu persoalan: mengapakah anda memilih untuk tahrik (menggerak-gerakkan) jari di dalam tasyahhud? Sedangkan jumhur ulama berpendapat isyarah dalam tasyahhud, bukan tahrik?
Bukankah lebih utama untuk mengikut pendapat jumhur ulama dalam masalah ibadah, lebih selamat?
Sekali lagi, bukan untuk mengulas ataupun membahaskan isu ini. Hanya ingin mengajak kita merenung kembali sikap kita dalam beragama.
Apakah kita mengamalkan agama berdasarkan kaedah yang tetap atau kita sebenarnya mengamalkan agama kerana itulah pendapat dan pegangan golongan tertentu?
Apakah kita sebenarnya "memilih-milih" pendapat ulama yang sesuai dengan keinginan kita, namun menisbahkan diri kita kepada golongan tertentu?
Misalnya, apakah kita memilih mengikut Syeikh Al-Albani dalam masalah sifat solat, namun dalam permasalahan lain kita ikut Syeikh Bin Baz dan Syeikh Utsaimin (moga Allah merahmati mereka)?
Bukan salah, tetapi kita perlu memahami bahawa ketiga-tiga alim tersebut berbeza dalam pendekatan mereka. Kalau kita selama ini anggap "Sifat Solat Nabi" Syeikh Al-Albani itulah yang menepati Sunnah, maka itu bererti kita menganggap Syeikh Bin Baz dan Syeikh Utsaimin sebagai "tidak menepati Sunnah" di dalam solat.
Benarkah demikian? Atau permasalahan sebenarnya adalah soal ikhtilaf dalam masalah fiqhiyyah?
Atau kita tetap menganggap bahawa yang Sunnah itu adalah bersedekap meletakkan tangan tinggi di atas dada (ini pun bukanlah pendapat jumhur ulama), turun sujud tangan dahulu (juga bukan pendapat jumhur ulama), dan tahrik di dalam tasyahhud?
Entahlah.. namun, apa yang saya pasti, apabila semakin belajar dan menimba ilmu, saya mula memahami kenapa ustaz-ustaz dahulu zaman ibu bapa kita menetapkan agar kita ikut satu mazhab sahaja, yakni mazhab Syafi'i. Tidak lain melainkan agar kita mudah memahami agama dan tidak celaru dengan permasalahan khilaf.
Kerana agama itu bukanlah untuk mengelirukan tetapi untuk diterima dan diamalkan.
Wallahu a'lam
1 comment:
ko ni memang dasar bebal, dalil yg jelas pun ko tak paham2? ko nak dengar muzik to ko peh pasal ah sengal. juz bcos pendapat jumhur tu tak sesuai dgn hawa nafsu ko, ko nak tolak? kalau ko nak dengar muzik pon, jgnlah declare yg diri ko tu salapi, bebual macam yoyo oh.
_l_
Post a Comment