Thursday, November 01, 2007

Isu #1: Maka di mana kebebasan peranan seorang Mufti?

RUJUK PADA JAKIM, MAJLIS AGAMA SEBELUM KELUAR FATWA Menteri nasihatkan mufti-mufti untuk elak kekeliruan

KUALA LUMPUR: Mufti-mufti negeri dinasihat supaya merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia sebelum mengeluarkan sebarang fatwa bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, mengeluarkan peringatan itu berikutan perkembangan yang berlaku di negara itu sekarang 'di mana mufti sudah mula menulis, termasuk di akhbar dan ada kalanya menyentuh isu di luar bidang agama'.

'Saya telah meminta Ketua Pengarah Jakim menasihatkan mereka. Ini kerana dasar yang kita gunakan ialah dengan menasihati terlebih dahulu sebelum mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka,' katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2008 bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai isu-isu agama di Dewan Rakyat kelmarin.

Dr Abdullah berkata penyebaran fatwa tanpa rujukan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jakim boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di Malaysia.

'Kita akan lihat sejauh mana mereka (mufti) akan mematuhi nasihat yang telah diberikan oleh Ketua Pengarah Jakim. Diharap janganlah mereka memperbesarkan perkara yang kecil soal.... sambutan Maulidur Rasul, soal adanya Mazhab Shafie tulen, Mazhab Shafie palsu dan pelbagai lagi,' katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen (BN-Larut), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Raja Ahmad Zainuddin meminta penjelasan mengenai fatwa yang berbeza dikeluarkan oleh mufti yang menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara itu.

Mengenai ajaran sesat di Malaysia pula, Dr Abdullah berkata penyiasatan yang rapi dan bukti yang kukuh serta mencukupi diperlukan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap penyebaran ajaran sesat.

'Dalam proses tindakan penguatkuasaan juga, Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri sentiasa mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi keselamatan,' katanya. -- Bernama.

[Ditukil dari Berita Harian (Singapura), 1 November 2007]


Komentar dari Ibn Shamsud-Deen:

Kalau setiap Mufti perlu rujuk kepada JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum mengeluarkan fatwa, maka apa ertinya seseorang itu dilantik menjadi mufti?

Bukankah "mufti" itu bererti pemberi fatwa, ataupun seorang alim yg layak mengeluarkan fatwa?

Dan tentu sekali apabila seseorang itu dilantik menjadi mufti, adalah berdasarkan kealiman dan keupayaannya untuk memberi fatwa.

Lainlah kalau tentang isu-isu baru seperti tentang kloning, bayi tabung uji dan sbgnya, yang membutuhkan para ulama sesebuah negara untuk bermuzakarah. Maka tatkala itu, maka adalah lebih wajar bagi para mufti untuk bermuzakarah dalam Majlis Fatwa Kebangsaan.

Tapi kalau dalam soal agama seperti soal aqidah, soal ibadah, soal syirik, soal bid'ah dan sebagainya, maka seorang mufti sememangnya layak untuk mengeluarkan fatwanya sendiri.

Dan adakah wajar bagi Dato' Dr Abdullah Md Zin untuk mengatakan bahawa soal sambutan Maulidur Rasul sbg perkara kecil? Sedangkan ianya merupakan isu bid'ah, di mana Nabi bersabda, "Setiap bid'ah (dalam agama) adalah dhalalah (sesat), dan setiap dhalalah adalah di dalam Neraka."

Begitu juga hadith Bukhari dan Muslim: "Barangsiapa mengamalkan sesuatu amalan yang bukan dari perintah kami (Allah dan Rasul), maka ianya tertolak." Bererti amalan itu sia-sia. Bukankah seorang Muslim itu seharusnya menjauhi perkara yang tidak bermanfaat, apatah lagi sia-sia?

Begitu juga hadith dari Aisyah (diriwayatkan oleh Muslim): "Barangsiapa mengada-adakan sesuatu amalan di dalam perintah (agama) ini apa yang bukan daripadanya, maka ianya tertolak."

Dan adakah wajar bagi Dato' Dr Abdullah Md Zin untuk mengatakan bahawa soal "adanya Mazhab Syafi'i tulen, mazhab Syafi'i palsu" sbg perkara kecil?

Sedangkan ramai orang yang keliru tentang hal ini.. mereka mengaku bermazhab Syafi'i tapi mengamalkan amalan-amalan yang bertentangan dengan pegangan Imam Syafi'i sendiri.

Mereka mengamalkan kenduri arwah sedangkan Imam Syafi'i menghukumkannya sbg makruh lagi bid'ah. Ini juga ditekankan oleh Syeikh Daud Fatani dan Syeikh Abdullah al-Banjari di dalam kitab-kitab mereka.

Mereka menghadiahkan pahala bacaan Yasin kepada si mati sedangkan Imam Syafi'i berpendapat bahawa pahala bacaan al-Qur'an tidak sampai kepada si mati, maka ianya perbuatan yang sia-sia.

Di sebalik tindakan mereka yg bertentangan dengan pegangan Imam Syafi'i, mereka tetap mengaku bermazhab Syafi'i dan menganggap seseorang itu terkeluar dari mazhab Syafi'i hanya kerana tak baca Qunut dalam solat Subuh! Subhanallah..

Ta'ashubnya mereka dalam mengaku bermazhab Syafi'i sedangkan pegangan mereka bertentangan dengan pegangan Imam Syafi'i.

Lalu apakah hal ini boleh dianggap sebagai perkara kecil, wahai Dato' Abdullah Md Zin?

Dan bagaimana pula dengan sikap masyarakat kita yang berkeras berpegang dan beramal dengan hadith dha'if (dan meninggalkan hadith sahih tanpa disedari) sedangkan Imam Syafi'i berkata dengan kata-kata yang masyhur: "Jika sebuah hadith itu didapati sahih, maka itulah mazhabku."

Begitu juga, beliau berkata lebih kurang berikut: "Jika sebuah hadith itu didapati sahih dan ianya bertentangan dengan pendapatku, ikutilah hadith tersebut dan tinggalkan pendapatku."

Pada ketika lain, beliau berkata, "...ikutilah hadith tersebut dan campakkanlah pendapatku ke dinding."

Dan pada ketika lain, beliau berkata lebih kurang berikut: "Jika sesuatu hadith didapati sahih dan bertentangan dengan pendapatku, ketahuilah bahawa aku telah menarik balik pendapatku, baik semasa hidupku atau sesudah matiku."

Subhanallah.. begitu tawadhu' sekali sikap Imam Syafi'i terhadap hadith-hadith yg sahih.. yg jelas menunjukkan bahawa mazhab Syafi'i adalah berdasarkan hadith sahih, bukan hadith dha'if.

Maka renungkanlah dan muhasabahlah..

No comments: