Saturday, July 15, 2006

Perihal serban dan janggut


Al-Hamdu lillaah, wa as-Salaatu wa as-Salaamu 'alaa Rasoolillaah, wa 'alaa aalihi wa sahbihi ajma'een, amma ba'd.

"Islam bukan setakat serban dan janggut". Begitulah tajuk sebuah laporan di muka depan Berita Harian (Singapura) semalam (Jumaat, 14 Julai 2006), laporan dari Putrajaya, Malaysia.

Demikian juga kenyataan Mahkamah Persekutuan ketika menolak rayuan tiga orang pelajar yang dibuang sekolah sembilan tahun lalu kerana enggan menanggalkan serban mereka.

Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed ditukil sebagai berkata, "Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam Islam."

"Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut."

Hendak kata saya tak setuju dengan beliau, macam setuju.. Nak kata saya setuju dengan beliau, macam tak setuju..

Hakikatnya, saya hanya separuh setuju dengan beliau.

Pertama:
Ya, memang tak dinafikan bahawa pemakaian serban itu bukan merupakan satu amalan dalam Islam.

Terkejut? Tentu sekali. Anda mungkin tertanya, Bukankah Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam berserta para Sahabat ridwanullahi 'alayhim berserban?

Ya, memang benar bahawa Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam berserta para Sahabat ridwanullahi 'alayhim berserban.

Akan tetapi, kita perlu fahamkan betul-betul sama ada pemakaian serban oleh Rasulullah dan para Sahabat adalah merupakan suatu anjuran dalam Islam atau hanya merupakan budaya semata-mata.

Kalau kita perhatikan Rasulullah dan para Sahabat, apabila mereka memakai serban, mereka berserban dari siang ke malam. Mereka memakai serban sebagai sebahagian daripada pakaian seharian mereka.

Ini adalah kerana memang menjadi budaya Arab untuk memakai serban.

Akan tetapi, kalau kita lihat orang Melayu kita pula, setiap hari Jumaat, apabila hendak ke solat Jumaat, baru mereka memakai serban. Yang lebih rajin pula, setiap solat jemaah di masjid, mereka akan berserban.

Namun, hakikatnya mereka hanya memakai serban apabila hendak solat. Setelah solat, mereka buka serban mereka. Apakah ertinya ini?

Hanya segelintir sahaja orang Melayu Islam yang memakai serban sebagai pakaian seharian.

[Walau bagaimanapun, sebagaimana dapat kita lihat sekarang, kebanyakan orang Arab tidak lagi berserban. Yang mereka pakai hanya kopiah putih, yang disertakan dengan ghutrah (macam kain selendang; yg biasa kita lihat qari-qari seperti Shaykh Abdur-Rahman as-Sudays dan Shaykh Mishary Rashid al-Afasi memakainya, seperti juga gambar dalam profil saya).]

Sebenarnya, perlu kita ketahui bahawa pemakaian serban itu merupakan satu ciri budaya orang Arab sebelum ini. Maka, adalah tidak perlu bagi kita sebagai 'Ajami (bukan Arab) untuk memakainya.

Malah, muhaddith terkenal masa kini, al-'Allamah Shaykh Muhammad Nasiruddeen al-Albaanee rahimahullah ada mengatakan bahawa hadith-hadith yang menunjukkan fadhilat memakai serban adalah tidak sahih. Maka, tidak perlu kita mengamalkannya.

Kedua:
Isu yang timbul ialah berkenaan pemakaian serban. Apa pula kaitannya dengan amalan berjanggut?

Apakah berserban bererti berjanggut, dan berjanggut bererti berserban? Apakah keduanya disatukan/disinonimkan atau keduanya merupakan dua perkara yang berbeza (dan tidak semestinya berkaitan)?

Ketiga:
Mengatakan bahawa Abu Jahal juga berserban dan berjanggut (lantas cuba mengatakan bahawa ianya merupakan budaya Arab semata-mata) menunjukkan ceteknya pemikiran beliau dan pemahaman beliau terhadap agama Islam, khususnya Sunnah Nabi sallAllaahu 'alayhi wa sallam.

Ya, memang benar Abu Jahal berserban dan berjanggut. Tapi itu sama sekali tidak menunjukkan bahawa berjanggut itu bukannya Sunnah.

Terdapat banyak hadith-hadith sahih yang menganjurkan lelaki Muslim agar berjanggut, antaranya:

"Pangkislah misai dan biarkanlah janggut (tumbuh) dan berbezalah daripada orang-orang musyrik." [1]

"Pangkislah misai dan biarkanlah janggut (tumbuh) dan berbezalah daripada orang-orang Majusi." [2]

Bahkan, mantan Mufti Besar Arab Saudi, Shaykh 'Abdul-Azeez ibn 'Abdullaah ibn Baaz rahimahullah menerangkan bahawa kaedah asas dalam Fiqh ialah asal sebuah perintah menunjukkan kewajipan (yakni hukumnya wajib).

Ini bersesuaian dengan sebuah hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Jarir tentang dua orang utusan Kisra (Parsi) yang dikirim untuk bertemu Rasulullah sallAllaahu 'alayhi wa sallam dan mereka telah terlebih dahulu mencukur janggut mereka dan membiarkan misai mereka. Rasulullah tidak suka memandang kedua-duanya, lalu berkata:

"Celakalah kamu berdua! Siapa yang menyuruh kamu melakukan perkara ini?"

Keduanya menjawab, "Tuhan kami yang menyuruhnya." (Maksud kedua-duanya ialah Kisra yang dianggap mereka sebagai tuhan.)

Kemudian Rasulullah sallAllaahu 'alayhi wa sallam berkata, "Akan tetapi Tuhanku memerintahkan aku agar membiarkan janggutku (tumbuh, lebat) dan agar memangkis (memotong) misaiku."

Bahkan, kata hikmah yang ditukil daripada Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah [3] adalah sebagai berikut:

"Perhatikanlah kenapa lelaki dan wanita masing-masing mempunyai bulu ari-ari tetapi kaum lelaki mempunyai satu kelainan dari kaum perempuan iaitu janggut."

Kesimpulannya, janggut merupakan ciri khas bagi lelaki, lambang kelelakian yang membezakan seorang lelaki daripada seorang wanita. Para ulama muktabar juga mengatakan bahawa justeru itu, lelaki yang mencukur janggutnya sebenarnya menyerupai wanita.

Perlu juga kita ketahui bahawa dalam kitabnya al-Umm yang disifatkan sebagai puncak ijtihadnya, al-Imam al-Syafi'i rahimahullah mengatakan bahawa mencukur janggut itu adalah haram.

Maka, ayuhlah lelaki Muslim, ayuhlah kita memelihara janggut kita sebagai menjunjung Sunnah Nabi sallAllaahu 'alayhi wa sallam serta memperlihatkan kelelakian kita.

Wallaahu a'lam wa al-Musta'aan.

Wa sallAllaahu 'alaa Nabiyyinaa Muhammad, wa 'alaa aalihi wa sahbihi wa sallam, wa al-Hamdu lillaahi rabbi al-'Aalameen.

_______________
Nota kaki:
[1] Kesahihan hadith ini dipersetujui oleh al-Bukhari dan Muslim. Hadith ini ditukil dan diterjemahkan dari www.fatwa-online.com.

[2] Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, dari Abu Hurairah radiyAllahu 'anhu. Hadith ini juga ditukil dan diterjemahkan dari www.fatwa-online.com.

[3] Beliau merupakan anak murid kepada Shaykh al-Islaam Ibn Taymiyyah, seorang tokoh madzhab Hanbali. Beliau terkenal dengan kitabnya Zaad al-Ma'aad dan Madaarij as-Saalikeen.

No comments: