KAHIRAH: Kementerian Ehwal Agama Mesir kini menyertai perdebatan mengenai sama ada seorang wanita Muslimah patut memakai kerudung muka (niqab), dengan menerbitkan sebuah buku yang berhujah bahawa ia tidak termasuk ajaran Islam.
Akhbar Al-Masry al-Yom menyiarkan sedutan buku itu, bermaksud Kerudung (niqab) itu adat, bukan ibadat, oleh Menteri Ehwal Agama, Encik Mahmud Hamdi Zaqzuq, yang akan diagihkan pihak kementerian kepada masjid-masjid.
'Saya tidak akan membenarkan budaya niqab merebak di Mesir,' kata beliau seperti dinukil akhbar berkenaan.
Pemakaian kerudung dibahaskan beberapa mazhab Sunni, dengan majoriti berkata amalan itu tidak wajib.
Namun semua mazhab akur wanita harus menutup aurat keculi muka dan tangan.
Buku Encik Zaqzuq menukil fatwa Mufti Mesir, Rektor Universiti Al-Azhar dan ulama lain bahawa pemakaian niqab tidak bersandarkan Al-Quran atau Hadis.
Di Mesir, pemakaian niqab sering dikait dengan pengikut Salafi, yang merupakan aliran pemikiran utama di Arab Saudi.
Kementerian Ehwal Agama Mesir sebelum ini mengumumkan ia akan menerbitkan buku-buku yang membantah fahaman Salafi dan akan mengagihkannya ke masjid- masjid.
Pakar sosiologi, Cik Mona Abaza berkata di Mesir, 80 peratus wanita memakai kerudung. Tetapi baru-baru ini dekan Univerisiti Helwan memberhentikan pelajar wanita yang memakai kerudung.
Cik Soad Saleh, bekas pensyarah Fakulti Syariah di Universiti Al-Azhar, juga berkata niqab tidak wajib. -- AFP.
http://cyberita.asia1.com.sg/luarnegara/story/0,3617,131044,00.html?
Ibn Shamsud-Deen:
Untuk mengatakan pemakaian niqab tidak bersandarkan al-Qur'an dan Hadith, barangkali mereka tidak mempelajari hadith dengan teliti.
Larangan Rasulullah agar wanita tidak memakai niqab mahupun sarung tangan semasa ihram jelas menunjukkan ada sandarannya di dalam hadith. Begitu juga adalah sangat mafhum para isteri Rasulullah memakai niqab, sehingga pemakaian niqab disebutkan sebagai Sunnah para isteri Rasulullah.
Walaupun ana secara peribadi setuju dengan pandangan dan hujjah Syeikh al-Albani dan mendukung pendapat jumhur ulama bahawa niqab itu tidak wajib, ana begitu tersentak apabila sang menteri ini membuat kenyataan ianya tiada sandaran dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Apatah lagi apabila beliau mendakwa menukil fatwa dari para ulama.
Jika benar demikian, apakah para ulama yang beliau tukil fatwa mereka tidak melihat wujudnya khilaf tentang sama ada niqab itu wajib ataupun tidak? Tidakkah mereka melihat para ulama yang berpendapat niqab itu wajib (seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah) memiliki kekuatan hujjah? Bahkan, ana secara peribadi melihat kedua-dua pihak memiliki kekuatan hujjah, lalu akhirnya ana lebih cenderung kepada hujjah Syeikh al-Albani dan pendapat jumhur ulama.
Lalu apakah para ulama yang berpendapat niqab itu wajib hanya menyimpulkan pendapat demikian berdasarkan ijtihad semata-mata tanpa dalil nas?
'ala kulli hal, bila diteliti artikel di atas, jelas motif sebenar.. motif sebenar bukanlah untuk membasmikan budaya niqab tapi lebih kepada membanteras fahaman Salafi.. kerana Kementerian Hal Ehwal Agama Mesir telah mengumumkan akan menerbitkan buku-buku yang membantah fahaman Salafi dan diagihkan ke masjid-masjid.
Mufti Mesir Syeikh Ali Gomaa memang dikenali sebagai anti-Wahhabi/Salafi.. video ceramah beliau membantah fahaman Salafi boleh didapati di Youtube..
Dua kesimpulan boleh dibuat:
1) Menarik kan? Mereka kononnya berpegang kepada fikrah yang menyatukan semua golongan/fahaman dalam umat Islam, yakni fikrah Hasan al-Banna yang menyeru agar setiap golongan/fahaman bersatu atas dasar yang sama.. tapi mereka begitu benci kepada "fahaman" Salafi sehingga ingin dibantah habis-habis..
2) Perkembangan ini menunjukkan bahawa da'wah Salafiyyah semakin berkembang, khususnya di Mesir.. dan yang ana tahu, antara yang gigih berda'wah di sana ialah Syeikh Muhammad Hasan, Syeikh Muhammad Hussain Ya'qub dan Syeikh Abu Ishaq al-Huwainy.. Moga Allah melimpahkan rahmat, taufiq dan hidayah-Nya kepada mereka dan para penda'wah Salafi yang lainnya di Mesir.
Wa billahi at-Taufiq wa al-Hidayah.
No comments:
Post a Comment