Tuesday, January 01, 2008

Surat Terbuka: Penting Bagi Muis Awasi Pensyarah Luar


Surat berikut sebenarnya ditulis kepada Forum Berita Harian, namun atas sebab-sebab tertentu, ianya tidak diterbitkan. Maka, saya menerbitkannya di sini sebagai surat terbuka:

Merujuk kepada surat Saudara Sheikh Anwarul Mohd Shariff berkenaan perlunya Muis awasi pensyarah luar, saya turut mengongsi keprihatinan beliau, terutama sekali berkenaan seorang pensyarah yang diundang ke sini pada tahun 2004.

Pensyarah tersebut telah ditemu-ramah oleh akhbar Straits Times, di mana beliau mengecam para ulama Haramain (Makkah dan Madinah).

Ianya amat dikesalkan dan menimbul kekhuatiran kerana terdapat beberapa kenalan yang turut mengecam ulama Haramain berdasarkan temu-ramah tersebut. Tidak mustahil jika ada pihak atau kumpulan tertentu yang bertindak serupa dalam mengecam mahupun memperkecilkan ulama Haramain.

Yang lebih mengkhuatirkan, pensyarah tersebut terkenal sebagai salah seorang pemimpin Tariqah Naqsyabandi sedunia.

Merujuk kepada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada segmen fatwa (www.e-fatwa.gov.my), terdapat 6 fatwa berkenaan tariqah tersebut dari pelbagai negeri di Malaysia, yang rata-rata mengharamkan tariqah tersebut dan menggesa setiap pengamalnya bertaubat.

Tariqah tersebut diharamkan kerana didapati bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan ajaran Islam, antaranya mengajarkan fahaman Wahdatul Wujud.

Justeru, adalah membimbangkan apabila pensyarah tersebut diundang untuk berceramah di sini, apatah lagi terdapat buku-buku tulisannya yang dijual oleh sebuah toko buku Islam di sini.

Maka, amatlah penting bagi Muis mengawasi pensyarah luar agar masyarakat Islam Singapura terpelihara dari fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Masih terdapat pelbagai salah tanggapan di dalam masyarakat berkenaan ulama Haramain, antaranya mereka berfahaman Wahhabi dan mengajarkan sikap radikal dan pengganas.

Kita telah pun berpeluang mengundang dua orang alim dari Al-Azhar untuk berceramah di sini, yakni Sheikh Dr Sayyid at-Tantawi dan Sheikh Sa’ad al-Gawwish, yang mana saya berpeluang mengambil manfaat dari ceramah mereka.

Mungkin kini tiba masanya kita mengundang seorang pensyarah Haramain (Arab Saudi) pula, bertujuan untuk meluaskan minda serta menghapuskan salah tanggapan mengenai ulama Haramain.

Antara yang mungkin boleh saya sarankan ialah Sheikh Dr. Salih bin Fawzan al-Fawzan, seorang anggota tetap Majlis Fatwa, anggota Majlis Ulama Besar dan pelbagai kedudukan lagi. Ataupun salah seorang imam Masjidil Haram seperti Sheikh Abdur Rahman as-Sudais dan Sheikh Su’ud al-Shuraim.

No comments: