Saturday, January 20, 2007

Renungan Muharram (bahagian 1)


As-Salamu 'alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Al-Hamdu lillah, tibalah sudah bulan Muharram.. berlalunya tahun yang lalu, meninggalkan kita tak kembali lagi.. bermulalah tahun baru 1428H, Allah saja yang tahu apa yang menanti untuk kita semua..
Bulan Muharram, tak dinafikan, merupakan satu kesempatan bagi kita untuk bermuhasabah diri. Menanamkan azam yang baru, sentiasa memperbaiki diri.
Namun, hendaklah kita ketahui.. muhasabah diri bukanlah dengan menunggu kedatangan bulan Muharram semata baru nak muhasabah diri.. jika demikian sikap kita, apa bezanya kita dengan orang kafir yang hanya akan menanamkan azam baru memperbaiki diri pada awal setiap tahun?
Saiyidina Ali radhiyAllahu 'anhu pernah berkata yang lebih kurang berikut:
"Beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, terpedayalah mereka yang hari ini sama seperti hari semalam, celakalah mereka yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam."
Sebuah lagi kata mutiara yang membawa maksud yang serupa:
"Hendaklah hari ini lebih baik daripada hari semalam, dan hendaklah hari esok lebih baik daripada hari ini."
Maka, dalam Islam, muhasabah diri itu seharusnya dilakukan setiap hari. Kalau tak mampu, maka beberapa hari sekali. Kalau tak mampu juga, maka seminggu sekali. Kalau tak mampu juga, beberapa minggu sekali.
Pokoknya, kita sebagai Muslim hendaklah senantiasa muhasabah diri dan mempertingkat diri kita, memperbaiki diri senantiasa.
Hendaklah kita manfaat suatu hari itu dengan sepenuhnya agar ianya hari terbaik yang pernah kita lalui.
Sabda Nabi Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam lebih kurang berikut:
"Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari." [1]
Dalam mempertingkatkan dan memperbaiki diri, hendaklah kita muhasabah diri. Di manakah kedudukan kita sebagai umat Muhammad?
Ustaz-ustaz kita biasa sebutkan, syarat-syarat sah ibadah adalah:
  1. Islam (ada ulama mengatakan taqwa)
  2. Ikhlas (kerana Allah subhanahu wa ta'ala semata-mata)
  3. Ittiba' (yakni, ittiba' us-Sunnah yang bererti mencontohi Sunnah Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam)

Poin 1 dan 2, insha-Allah ramai di kalangan kita telah pun penuhi. Namun, poin 3... berapa ramai daripada kita yang telah memenuhinya?

Berapa ramai di kalangan kita yang senantiasa muhasabah dirinya dalam mencontohi sunnah Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam?

Misalnya, dalam soal ibadah seperti solat.. berapa ramai di kalangan kita yang muhasabah diri sama ada solat kita telah menepati Sunnah Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam?

Bukankah Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam telah bersabda:

"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat."? [2]

Lalu kita menyambut kedatangan bulan Muharram [3] dengan membaca doa akhir tahun sebelum Maghrib dan doa awal tahun selepas solat Maghrib sedangkan tiada contoh dari Nabi Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam mahupun para sahabatnya ridhwanullahi 'alayhim.

Bukankah dalam ilmu Usul Fiqh ditetapkan bahawa prinsip asas berkaitan ibadah ialah asal segala sesuatu adalah haram melainkan ada dalil (sahih) yang menghalalkan?

Dalam Khutbatul-Hajah, Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam bersabda:

"Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama). Setiap perkara yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah, setiap bid'ah adalah dhalalah (menyesatkan), dan setiap dhalalah adalah di dalam neraka." [4]

Ibnu Umar radhiyAllahu 'anhuma pula berkata:

"Setiap bid'ah (dalam agama) adalah dhalalah (menyesatkan), sekalipun orang ramai menganggapnya baik." [5]

Bahkan, bulan Muharram hanya ditetapkan sebagai permulaan tahun pada masa pemerintahan Saiyidina Umar radhiyAllahu 'anhu apabila beliau mengasaskan takwim Islam! Dan tiadalah beliau mahupun para Sahabat yang lain pada masanya mengadakan amalan atau doa khusus pada awal Muharram. [6]

Lalu dalam doa awal tahun tersebut, kita berdoa memohon keredhaan dan rahmat Allah serta barakah daripadaNya, subhanAllah!

Bagaimana nak dapat keredhaan, rahmat dan barakah daripada Allah kalau apa yang kita lakukan/amalkan (yang kita anggap sebagai sebahagian daripada agama) tidak diperintahkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala dan tidak pula dianjurkan oleh Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam?

Sedangkan Imam Malik rahimahullah mengatakan bahawa barangsiapa yang mengamalkan bid'ah yang ia anggap baik, samalah seperti dia mengatakan bahawa Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam telah mengkhianati risalah! Wa iyadzu billah..

Maka ana menyeru diri ana sendiri dan pembaca sekalian.. ayuhlah kita muhasabah diri kita dalam rangka menilai kedudukan kita sebagai umat Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam.. apakah nilaian cinta kita kepada Baginda sallAllahu 'alayhi wa sallam? Apakah amal ibadah kita atas dasar ittiba' us-Sunnah ataupun taqlid buta semata? Apakah kita pendukung Sunnah dan penentang bid'ah ataupun kita pendukung bid'ah yang mematikan Sunnah?

Wallahu al-Musta'an.

____________

Nota kaki:

[1] Ana tak dapat pastikan kesahihan hadith ini. Jika tidak sahih, maka tinggalkanlah.

[2] HR. Bukhari, Muslim dan Ahmad.

[3] Yakni, yang ramai orang sebutkan sebagai sambutan Awal Muharram ataupun Zikral Hijrah.

[4] HR Muslim.

[5] HR Abu Syamah, sanadnya hasan. Abu Syamah seorang ulama hadith bermazhab Syafi'i.

[6] Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Ustaz Hamzah Jumaat di dalam kuliah Maghribnya di Masjid Alkhair pada 1 Muharram 1428H dalam menjawab soalan yang dikemukakan tentang penetapan awal Muharram.

No comments: