Friday, March 04, 2011

"Saya selalu meruqyah diri, tetapi kenapa masih terkena gangguan lagi?"

Soalan daripada Yeszeet Mylake:

Kenapa setiap hari saya baca ruqyah tapi masih ada gangguan juga? Apa silap nya ye? Silap dalam bacaan ke?

Jawapan saya:

Seperti pesanan Syeikh Abdullah bin Muhammad as-Sadhan (ahli ruqyah dari Arab Saudi), ruqyah tu ibarat ubat. Sebagaimana flu tidaklah sembuh dengan hanya sekali makan ubat, tetapi dengan beberapa kali, bukan? Manakala anti-biotic pula perlu habiskan prescription.

Begitu juga ruqyah. Perlu berulang kali. Sebab itu saya lebih condong kepada pdekatan Syeikh as-Sadhan. Tak perlu ruqyah lama-lama, 10 min atau 15 min memadai. Lagipun, daripada pengalaman peribadi sebagai pesakit, lagi lama ruqyah, lagi penat badan. Mungkin lepas 3 jam pulih. Tetapi kerana tubuh terlalu penat dan letih, maka tak mustahil terkena gangguan lagi.

Nah, kalau ruqyah itu ubat, apa pula vitaminnya? Kalau tubuh ada vitamin, begitu juga rohani kan?

Vitamin perlu utk jaga immunity jasmani. Maka bg rohani, vitaminnya adalah dzikrullah. Dzikr pagi dan petang seperti dalam al-Ma'tsurat (susunan Hasan al-Banna) atau Hisnul Muslim (susunan Syeikh Sa'd bin Ali bin Wahf al-Qahtani) hendaklah diamalkan setiap hari dengan istiqamah, walaupun sedikit (seperti dengan membaca Ayatul Kuri dan 3 Qul sahaja).

Begitu juga bacaan al-Quran, di mana setiap hari kita baca sebahagian, baik satu juz, separuh, suku, atau kurang daripada itu. Yang penting, dijadikan wirid harian secara istiqamah.

Dgn itu, dapat kita renungi bahawa hambatan yang timbul adalah tidak istiqamah disebabkan kelalaian kita sendiri. Dan saat lalai itulah jin mudah merasuk lagi, terutama tatkala syiddatul ghadhab di mana kita tak sebut nama Allah.

Syiddatul Ghadhab, sebagaimana dijelaskan Syeikh Wahid Abdussalam Bali (ahli ruqyah di Mesir), adalah gejolak emosi, yg mana mafhumnya adalah keadaan:

  • terlalu gembira
  • terlalu sedih
  • terlalu marah
  • terlalu takut
  • juga termasuk terlalu bernafsu (sbb tu nabi ajarkan doa perlindungan bg suami isteri yg berjima')

Wallahu a'lam.

Al-Faqir ilAllah,
Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree

Kritikan Kasih - Perihal Islamiq.sg

(Nota berikut diterbitkan di FB saya pada 2 Mac 2011 pada 1.44pg.)

Teringat tulisan Ust Hasrizal (Abu Saif, Saifulislam.com) ketika menegur Dr Asri tatkala beliau baru menjawat kedudukan Mufti Perlis.

"Anda akan dapati orang2 yang paling lantang mengkritik anda adalah orang yang paling menyayangi anda." (aw kama qal)

Begitu juga tulisan beliau di mana beliau berkata, "Maafkanku, wahai saudara Salafi, kerana silap menunjukkan kasih sayang". Kerana ada yang bertanya kenapa beliau teramat lantang mengkritik mereka yang beraliran Salafi.

Atas nada yang sama dan sifat serta sikap yang serupa, ingin saya menyatakan kritikan saya kepada golongan Salafi.

Pertama sekali, janganlah kita salahkan orang awam jika mereka lari daripada da'wah Salafi.Kerana da'wah Salaf seharusnya penuh kelembutan dan kesantunan, penuh hikmah dan kesabaran.

Sebagaimana nasihat Syeikh Abdul Aziz ibn Abdullah ibn Baz, "Saat ini bukanlah saatnya untuk kekerasan. Saat ini adalah untuk kelembutan, kesabaran dan kebijaksanaan (hikmah)." Aw kama qal.

Akan tetapi, kelembutan dan kesantunan ini didapati pada da'wah Sufi. Sedangkan kita yang mengaku Salafi terlalu cepat menghukum, terlampau lantang mengkritik (tanpa hikmah) dan terlalu keras dalam menegur.

Kedua, mereka kaum Sufi lebih kelihatan tsiqah (dipercayai). Lihatlah, mereka mendalami kitab-kitab ulama mereka seperti al-Hikam, al-Ihya' dan An-Nashihah ad-Diniyyah. Mereka juga mendalami ilmu alat seperti Usul Fiqh dan al-Maqasid.

Sedangkan kita yang mengaku Salafi, kita baru belajar tetapi terbawa-bawa dengan semangat lalu cepat menghukum orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Kita tidak mendalami ilmu alat, malah masih terkial-kial dengan bahasa Arab. Ada juga di antara kita masih lemah dalam tajwid (malahan makhraj huruf) tetapi berani tampilkan diri untuk imamkan solat kerana merasakan lebih memahami Sunnah.

(Sedangkan yang Sunnah adalah untuk mendahulukan orang yang lebih menguasai al-Quran. Lihat sahaja kisah Syeikh Bin Baz dan Syeikh Albani pada musim haji, apabila Syeikh Bin Baz meminta Syeikh Albani mengimamkan solat Jemaah, Syeikh Albani berkata, "Andalah yang ke hadapan. Anda syeikh kami."
(Kerana menghormati kedudukan Syeikh Bin Baz sebagai Mufti Besar Arab Saudi.)

Akan tetapi, Syeikh Bin Baz menjawab, "Tidak, tidak, tidak. Anda dan saya setara dalam al-Quran, tetapi anda lebih memahami as-Sunnah." Al-Quran dijadikan kriteria utama bagi seorang imam sesuai Sunnah Nabi.)

Begitu juga, kita memilih-milih kata-kata ulama yang sesuai dengan kehendak kita, dengan semangat kita yang berkobar-kobar untuk membuktikan kita benar dan orang lain salah.

Kita cepat menghukum kaum Sufi sebagai batil dan menyerang mereka. Sedangkan tokoh yang kita kagumi, yakni Imam Ibn Qayyim juga dianggap sebagai seorang Sufi. Malah sebahagian ulama dan penulis menyifatkan beliau sebagai pelopor Tasawwuf-sunni (tasawwuf yang disejajarkan dengan as-Sunnah, atau yang biasanya diistilahkan sebagai tazkiyyatun-nafs.)

Kita lupa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga seorang Sufi, dari segi ibadahnya, dzikirnya, kekuatan rohaninya. Yang mana kita sedikitpun tidak sepertinya. (Moga Allah merahmati mereka berdua.)

Ini membawa saya kepada perihal sebuah laman web yang bernama Islamiq.sg.

Saya tidak menafikan niat murni dan tujuan baik admin Islamiq. Saya kenal secara peribadi admin Islamiq walaupun tidak rapat. Malah diajak bersama-sama menubuhkan Islamiq tetapi atas sebab-sebab tertentu, saya tidak jadi.

Kebelakangan ini, banyak perkembangan Islamiq yang amat tidak saya setujui. Sesiapa yang mengikuti saya di FB tentu sekali melihat betapa lantangnya saya mengkritik Islamiq.

Beberapa persoalan yang timbul:

1) Hakikatnya, Islamiq "laman yang majhul".

Memang, admin Islamiq melenting apabila saya menyatakan demikian.

"Bagaimana anta boleh mengatakan ana majhul sedangkan anta kenal ana?" Marahnya beliau dengan saya ketika itu sehingga menimbulkan dakwaan-dakwaan tertentu terhadap saya, dakwaan-dakwaan yang tidak berasas yang merupakan andaiannya sendiri, serta mempertikaikan manhaj saya. (Tak perlulah saya menyebutkan dakwaan-dakwaan tersebut di sini yang bagi saya tidaklah relevan, juga demi memelihara aibnya.)

Saya berkata bagi pihak pembaca. Pembaca tidak kenal siapa admin Islamiq. Ramai yang pada awalnya menyangka ianya laman web milik al-Fadhil Ustaz Hamzah Jummat. Namun, tatkala itu beliau hanya penulis penyumbang (namun masih dilindungi identiti sebenar penulis artikel di sebalik nama kunyah samaran.) Hanya beberapa bulan yang lalu baru dinyatakan bahawa al-Fadhil Ustaz Hamzah Jummat selaku penasihat.

Pembaca dapat mempercayai laman web Tariqat Ahmadiyah Idrisiyah kerana dapat dinisbahkan kepada al-Fadhil Ustaz Hasbi Hassan yang dapat dipertanggungjawabkan.Pembaca dapat mempercayai FB al-Fadhil Ustaz Mazdiuky kerana ianya profil peribadi beliau dan beliau dapat dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Adapun Islamiq, baik lamannya mahupun FBnya, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan?

2) Kepada Salafiyun di Singapura, lupakah anda as-Sanad min ad-Din? Lalu bagaimana kita boleh menerima bulat-bulat artikel-artikel di Islamiq, apabila kita tidak mengenali siapa penulisnya? Terutama sekali bagi artikel-artikel yang tidak dinyatakan siapa penulisnya.Kalau artikel agama, mungkin admin Islamiq boleh menulis dan menyusun dengan menukil di sini dan di sana. Tetapi apakah layak beliau membuat kesimpulan sendiri? Apakah beliau bertauliah dalam agama?

Sebagai contoh, artikel Solat Hajat yang merupakan jawapan kepada seorang penanya. Saya sendiri belajar dengan al-Fadhil Ustaz Hamzah Jumaat selama 7 tahun, beliau tidak pernah menyimpulkan sedemikian. Beliau membuat kesimpulan yang sama sekali tidak disebutkan admin Islamiq.

Maka, admin Islamiq membuat kesimpulan sendiri? Nampaknya begitu. Apakah beliau bertauliah? Setahu saya tidak. Apakah Islamiq telah "melangkahi" penasihatnya? Mungkin. Kerana jika beliau telah merujuk kepada al-Fadhil Ustaz Hamzah selaku penasihat, tentu sekali kesimpulan artikel tersebut adalah kesimpulan al-Fadhil Ustaz Hamzah sendiri, malah akan dinyatakan ianya dijawab oleh al-Fadhil Ustaz Hamzah.

3) Ada yang mengatakan bahawa "memandangkan Islamiq dipantau dan dinasihati oleh seorang yang istiqamah manhajnya, maka ianya satu usaha yang dialu-alukan."

Persoalannya, adakah admin Islamiq istiqamah manhajnya setelah dinyatakan poin-poin di atas?

Malah, pendirian/manhaj admin berubah-rubah sepanjang tempoh dua tahun yang dahulu.

Dahulu, beliau akan menukil daripada pensyarah-pensyarah daripada Malaysia seperti Dr Johari Mat, Dr Azwira dan lain-lain. (Ini terpapar dalam blog Multiply peribadi beliau.) Namun, kita hampir tak lihat tukilan daripada mereka di dalam Islamiq.

Dahulu, beliau akan menukil sebahagian pendapat Dr Yusuf Qaradhawi. Sekarang, sesiapa yang menukil Dr Qaradhawi akan "dipertikaikan manhajnya", termasuklah diri saya.

Dahulu, beliau akan merujuk kepada tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkenaan isu-isu kewangan, terutama kewangan Islam dan Takaful. Sekarang, langsung tiada tukilan. Malah, terdapat kritikan halus mempertikaikan takaful yang hanya ditukil daripada satu sumber sahaja. Apakah beliau telah memahami Fiqh Muamalah? Fahamkah beliau apa yang telah beliau terbitkan?

Persoalan yang menyeluruh: beginikah adab ilmu yang dianjurkan kaum Salafus shalih?Kepada admin Islamiq, belum terlambat untuk memperbaiki keadaan, memulihkannya bersesuaian dengan adab ilmu yang dianjurkan kaum Salaf.Begitu juga kepada Salafiyun di Singapura, kembalilah kepada adab ilmu, fahamilah ia dan amalkanlah.

Akhir kata, saya terpaksa menulis perkara ini secara terbuka apabila mendapati admin Islamiq me-radd orang lain, khususnya al-Fadhil Ustaz Mazdiuky, secara terbuka. Rasanya lebih adil begini. Dan saya tiada sebarang motif pun untuk membela al-Fadhil Ustaz Mazdiuky; saya bukan murid beliau, tidak pula sefikrah dengan beliau. Saya hanya ingin perkara ini menjadi adil, juga atas penghormatan kepada al-Fadhil Ustaz Mazdiuky selaku seorang guru agama yang cukup dikenali di sini, dan kesedaran bahawa kita sebagai pelajar, adabnya adalah untuk belajar dan menilaikan sendiri, bukan mempertikaikan orang lain, terutama sekali asatizah.

Sekian,
al-Faqir ilAllah,Yg "dipertikaikan manhajnya" (oleh Islamiq dan lain-lain),
Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree
(Mohamed Farhan Bin Mohamed Samsudin)


===========================

Tambahan (4 Mac 2011):

Beberapa hari yang lalu, al-Fadhil Ustaz Hamzah Jummat ada menghubungi saya bahawa laman Islamiq bukan milik beliau 100%. Namun, benar bahawa beliau memantau dan menasihatinya, dan menyemak setiap artikel yang diterbitkan. Adapun profile Islamiq di Facebook bukan dalam pemantauannya.

Wallahu a'lam.

Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree