Djamal Tukimin seorang sasterawan kelahiran Singapura. Namun, tidak pernah aku mengenalinya kecuali melalui sebuah profil yang pernah tersiar di akhbar Berita Harian beberapa ketika lalu.
Ada semacam tarikan pada dirinya tetapi aku tidak pasti apa ketika itu.Yang biasa aku baca adalah seperti Peter Augustine Goh dan Suratman Markasan. Oh, dan ada kalanya Mahsuri SN dan beberapa penulis lain yang kurang ku kenali.
Novel "Imam Menziarahi Tanah Bonda" (Buku 1) adalah karya Djamal Tukimin yang pertama ku ketemui.Tidak pernah aku terserempak dengan karyanya sebelum ini.
Aku amat tertarik apabila aku terlihat novel ini dijual di Salaam Media. Yang menarik lagi adalah penyifatan "Sebuah Novel "Salafi"" yang tertera di kulit mukanya.
Mungkin kerana aku pernah menisbahkan diri sebagai Salafi, ataupun kecenderunganku pada fahaman tersebut yang juga dikenali sebagai "kaum muda", yang membuatku tertarik untuk membeli dan membaca novel ini.
Aku bangga menganggap diriku sebagai seorang pelajar Sastera Melayu, walaupun sekadar mempelajarinya di peringkat sekolah menengah. Namun, tidak mungkin aku menganggap diriku sebagai ahli, tidak pula sebagai pelajar yang setara dengan mereka yang menuntut di universiti. Ianya lebih sekadar minat dan kegemaran semata-mata.
Persoalan yang ingin aku utarakan di sini adalah penyifatan genre Islami sebagai "genre Sufisme". Begitulah yang aku pelajari dulu. Hingga kini aku menganggapnya sebagai suatu penyifatan kurang wajar kerana "genre Sufisme" itu barangkali suatu genre yang jauh lebih khusus berbanding tulisan-tulisan Islami yang lain.
Tulisan yang berisikan unsur-unsur Sufisme seperti falsafah Jalaludin Rumi dan Hamzah Fansuri memang wajar disifatkan sebagai "genre Sufisme". Namun, tulisan yang bertemakan Islam tetapi langsung tiada unsur Sufisme, bagiku tidak wajar disifatkan sebagai tulisan "genre Sufisme".
Penulis seperti Djamal Tukimin dan Prof Hamka tidak mungkin dan wajar disifatkan sebagai penulis "genre Sufisme" kerana mereka tidak berpegang kepada fahaman Sufisme, sejauh pengetahuanku. Penyifatan itu lantas tidak adil bagi mereka.
Barangkali istilah "genre Sufisme" muncul disebabkan kuatnya pengaruh tasawwuf/Sufisme di dalam penulisan sastera, khususnya Jalaludin Rumi dan Hamzah Fansuri.
Namun, aku lihat perlunya digariskan perbezaan antara tulisan bertemakan Islam dan "genre Sufisme". Bagiku, karya Djamal Tukimin dan Prof Hamka mengukuhkan keperluan ini, untuk mengelakkan kekeliruan dan kesamaran.
Kembali kepada pembicaraan ketokohan Djamal Tukimin, aku difahamkan oleh Encik Abdul Kader dan temannya di Salaam Media bahawa novel "Imam Menziarahi Tanah Bonda" ini laris dijual di Perlis. Namun, menurut teman Encik Kader, ianya tidak mendapat sambutang di Singapura.
Aku mengatakan bahawa hanya mereka yang mempelajari Sastera Melayu yang akan mengenalinya. Hmm, kini aku terfikir, benarkah? Sejauh mana kebenarannya? Mungkin kenalan yang mendalami Sastera Melayu di peringkat universiti boleh mengongsi pandangan dan meluruskan kefahamanku.
[Mungkin juga kerana mereka yang menisbahkan diri sebagai "Salafi" atau "orang Sunnah" tidak minat membaca novel atau bahan sastera.]
Aku mengatakan kepada diriku, barangkali ini novel "Salafi" yang pertama yang aku akan baca. Benar, ianya berlatarkan suasana kampung di Singapura pada tahun 30an ke 40an, serta perkembangan da'wah "kaum muda" di Singapura. Da'wah Salafi di Singapura pada tahun 40an? Benar!
Siapa sangka? Sebahagian Salafi di Singapura menganggap Da'wah Salafi di Singapura merupakan perkembangan yang "terkini" dengan bertambahnya bilangan pelajar tempatan yang lulus dari Universiti Islam Madinah. Paling-paling pun ada anggapan bahawa ianya bermula di sini setelah pulangnya lulusan Madnah yang pertama (walaupun fakta ini kurang diketahui di kalangan Salafi) atau (yang lebih masyhur) setelah pulangnya seorang lulusan Universiti Ummul Qura.
Ternyata tidak. Djamal Tukimin membuktikannya di dalam novel tersebut. Walaupun cerita rekaan, namun pasti ianya berlatarkan keadaan yang benar-benar terjadi.
Tidaklah aku sangka adanya sasterawan tempatan yang sefahaman dengan Prof Hamka. Mungkinkah keilmuan Djamal Tukimin dalam ilmu agama setaraf dengan Prof Hamka? Aku tidak pasti.
Yang pasti, Djamal Tukimin memaparkan dirinya sebagai seorang yang memiliki ilmu yang mantap berkenaan fahaman "kaum muda" sekaligus seorang sasterawan.
Tidaklah keterlaluan rasanya kalau Djamal Tukimin disifatkan sebagai "Hamka Singapura".
Hanya saja masyarakat tempatan masih belum atau kurang mengenali Djamal Tukimin...
Oleh: Ibn Shamsud-Deen, 031010