Tuesday, July 21, 2009

Antara MJ dan BJ...

Beberapa hari yang lalu, Berita Harian menyiarkan komentar wartawan mengenai MJ (yakni Michael Jackson). Kematian yang menggemparkan dunia persada seni serta para peminatnya. Penjualan album yang mencecah jutaan, kedua tertinggi di belakang Elvis Presley dan Beatles (maaf jika saya tersilap).

Wartawan tersebut membincangkan sesuatu isu berkaitan dengan MJ yang menjadi persoalan ramai Muslim: apakah benar MJ telah memeluk Islam? adakah beliau meninggal dunia sebagai seorang Muslim?

Bukan itu yang ingin saya bincangkan di sini. Hanya saja ingin menyentuh betapa wartawan tersebut menyebutkan bahawa MJ akan terus diminati dan disayangi ramai, termasuk di kalangan Muslim. (Begitu juga dengan komentar wartawan kedua yang hanya mula mintai MJ setelah kematiannya.)

Inilah yang menjadi persoalan: mengapa seorang penyanyi/penghibur menjadi kesayangan ramai, termasuk di kalangan Muslim? Sedangkan sebagaimana penyanyi/penghibur/selebriti lain, penglibatan MJ dalam persada seni mengandungi banyak unsur maksiat, paling tidak melalaikan jiwa dan mengkhayalkan kita dari mengingati Allah dan bacaan al-Qur'an.

[Renungkan: sekiranya diputarkan CD bacaan al-Qur'an dan pada masa yang sama juga, kedengaran muzik yang diminati ramai, MJ atau selainnya. Apakah yang akan dilakukan kebanyakan orang?

Apakah akan dikatakan, "Matikanlah putaran muzik itu. Lebih elok kita dengar bacaan al-Qur'an, mendekatkan diri kepada Allah." Atau,

"Matikanlah putaran al-Qur'an itu. Kan tak elok dilagakan antara bacaan al-Qur'an dan muzik.. Matikanlah dulu putaran al-Qur'an itu dulu.. lain kali boleh dengar.. sekarang kita dengar MJ lah.."

Rasanya jawapan cukup jelas...]

Lihatlah betapa muzik/nyanyian yang melalaikan, yang disifatkan Saiyidina Abu Bakr radhiyAllahu 'anhu sebagai seruling syaitan, begitu meresap dalam jiwa manusia, termasuk jiwa Muslim.

Benarlah kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah bahawa muzik/nyanyian mempunyai pengaruh yang hebat atas jiwa manusia; ia boleh menggoncangkan jiwa manusia sehingga membuatnya rasa sedih mahupun gembira. [aw kamaa qaal]

Lalu bagaimana pula dengan BJ? Tidak, saya tidak maksudkan pelawak setempat BJ Kadir. Yang saya maksudkan ialah Syeikh Bin Jibreen ('Abdullah bin 'Abdurrahman bin Jibreen) rahimahullah yang wafat pada minggu lalu.

Syeikh Bin Jibreen merupakan antara ulama mapan di Arab Saudi, antara ulama senior yang menjadi rujukan umat. Beliau dikatakan murid kepada Syeikh Bin Baz (Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz, mantan Mufti Besar Arab Saudi) rahimahullah dan sering mendampingi Syeikh Bin Baz. Malah, adakalanya menggantikan tempat Syeikh Bin Baz untuk mengimami solat.

Keilmuan yang tinggi, namun jiwa yang cukup tawadhu' membuatnya tidak suka dilayani sebagai seorang Syeikh. Malah, enggan terlalu dihormati sebagai seorang Syeikh kerana menganggap dirinya sebagai Thalib al-'llm (penuntut ilmu).

Tontonlah video berikut, di mana Syeikh Haitham al-Haddad (seorang murid Syeikh Bin Baz) berbicara tentang pemergian Syeikh Bin Jibreen, keperibadiannya serta ciri-ciri dan nilai seorang 'alim di dalam masyarakat:

http://muslimmatters.org/2009/07/15/recounting-memories-of-ibn-jibreen-navaid-aziz/

Sekarang, tepuklah dada, tanya iman. Di manakah kesedihan kita di atas pemergian seorang alim berbanding kesedihan kita di atas pemergian seorang selebriti?

Apakah yang ditinggalkan seorang selebriti dapat memanfaatkan kita di akhirat kelak?

Dapatkah kita menilai khazanah ilmu yang ditinggalkan para ulama?

Pemergian Syeikh Bin Jibreen telah didahului oleh Syeikh Bin Baz, Syeikh Al-Albani dan Syeikh Uthaymeen rahimahumullah. Sehinggakan Syeikh Bin Jibreen disifatkan (oleh Syeikh Haitham) sebagai alim terakhir dari generasi yang lepas.

Di manakah penghargaan, penghormatan dan kasih kita terhadap para ulama?

Renungkanlah wahai para pembaca budiman..

No comments: