Monday, December 08, 2008

George Yeo akui hikmah disebalik pengharaman insurans dan wang faedah

TURUT AMBIL KIRA PENCAPAIAN DUNIA ISLAM Yeo: Pendekatan demikian bantu semai sikap saling hormat-menghormati antara Islam dengan bukan Islam

MASYARAKAT dunia harus melihat agama Islam pada perspektif yang meluas dengan turut mengambil kira pencapaian penting dalam Dunia Islam.

Ini kerana pendekatan sedemikian mampu membantu menyemai sikap saling hormat-menghormati di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam hari ini.

Kegagalan masyarakat untuk berbuat demikian akan hanya mengakibatkan seseorang itu memperlekehkan hubungan antara kaum dan dalam mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah yang ada.

Demikian pandangan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, semasa berucap dalam majlis makan malam semasa merasmikan Persidangan Projek Pemerintahan Global S. T. Lee di Hotel Four Seasons Jumaat lalu.

Dalam ucapannya, Encik Yeo memberikan contoh satu pencapaian Islam yang seharusnya dijadikan iktibar kepada masyarakat dunia - iaitu nilai-nilai Islam yang mengharamkan insurans dan kadar faedah.

'Kita berada di tengah-tengah krisis kewangan. Banyak yang ditulis mengenai pengharaman pembayaran insurans dan wang faedah dalam Islam. Kita pernah mentertawakan pengharaman yang aneh ini, namun terdapat kebijaksanaan dalamnya,' ujar Encik Yeo.

Beliau berkata keprihatinan yang tersemat berhubung beberapa peraturan kewangan Islam adalah mengenai bahaya moral apabila kepentingan mereka yang membuat tuntutan mula menyimpang.

'Apabila kita lihat masalah dunia kewangan hari ini dan apa punca krisis ini, ia disebabkan keinginan mereka yang membuat tuntutan itu ditentang. Jadi, ada sesuatu dalam kewangan Islam yang betul-betul masuk akal,' ujar Encik Yeo.

Encik Yeo menambah, dalam memerangi pengganasan, dunia juga harus mengenang pencapaian Islam dalam membangunkan kegemilangan tamadunnya seperti pemerintahan Islam di Samarkand, Bukhara, Damsyik, Baghdad, Kahirah dan Cordoba.

Encik Yeo juga merujuk kepada sebuah pameran tamadun Islam di Musee d'Orsay, sebuah muzium di Paris.

Pameran yang sama juga kini boleh dilihat di Muzium Seni Islam di Doha, Qatar, yang direka arkitek Amerika Syarikat kelahiran China, Ieoh Ming Pei.

Projek Pemerintahan Global ini merupakan sebuah projek tiga tahun yang bakal mengumpulkan pemikir- pemikir dan pengamal-pengamal terbaik dari seluruh dunia Barat dan Timur untuk membangunkan wawasan dan saranan tentang cara memerintah dunia, termasuk Asia yang pesat membangun.

'Apabila kita membincangkan tentang pemerintahan global, ia perlu dibina atas dasar menghormati sesama manusia dan menghormati kepelbagaian yang ada padanya.

'Dalam pemerintahan global, secara dasarnya kita harus mengiktiraf kepelbagaian dan perbezaan ini,' ujar Encik Yeo.

Projek yang merangkumi beberapa kumpulan kerja itu akan menghasilkan sejumlah kertas kerja, pelan dasar, artikel akademik dan buku sepanjang projek tersebut.

Beberapa bengkel dan persidangan antarabangsa turut dirancang.

It dipengerusikan bersama oleh Dekan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP), Profesor Kishore Mahbubani and Pengarah Pusat Asia dan Globalisasi (CAG), Profesor Ann Florini.

[BH, 8 Dec 2008. http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,131889,00.html?]


Ibn Shamsud-Deen:

Kebenaran akan unggul juga. Hikmah pengharaman bayaran insurans dan wang faedah kini diakui dan dirasakan oleh orang bukan Islam, Allahu Akbar!

Tapi sedih sekali bila orang Islam sendiri masih terlibat dengan insurans.. bukan sahaja mereka jahil tentang pengharamannya, malah mereka merasakannya sebagai suatu keperluan, na'udzu billah..

Apakah kerana dirasakan sebagai keperluan, jika ada ulama atau majlis fatwa yang mengeluarkan fatwa mengharamkannya, akan muncul pihak2 tertentu dan suara-suara sumbang membantah fatwa tersebut atas "hujjah" ianya suatu "keperluan yang bermanfaat", sebagaimana muncul suara tersebut membantah fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan M'sia berkenaan Yoga?

Inilah petanda akhir zaman...

No comments: