Monday, October 23, 2006

Mengenali Ciri-ciri Teman Wanita Menggunakan Horoskop?


Baru-baru ini, ana ada menerima emel berkenaan mengenali ciri-ciri teman wanita dengan menggunakan horoskop. Ana telah pun menjawab kepada si pengirim serta para penerima emel tersebut darinya dengan menekankan bahawa horoskop sewajarnya ditinggalkan kerana ianya merupakan syirik, bahkan syirik khafi (syirik tersembunyi).

Lalu seorang sepupu menjawab emel ana tersebut sebagai berikut:

Salam.
Setiap dari kita mempunyai akal dan mampu membezakan antara yang hak dan yg batil. Dan pandangan saya secara peribadi tentang horoskop, ia bukanlah sesuatu yang boleh membawa ke syirik jika kita pandai menggunakan akal kita dengan sebaik mungkin.
Datuk Dr Fazilah Kamsah, seorang pakar motivasi dan penceramah bebas di Malaysia juga pernah mengeluarkan artikel tentang "Peribadi Seseorang Melalui Tarikh Lahir". Apa yg ditulis itu adalah berdasarkan hasil kajian beliau dan berdasarkan rujukan kepada para alim ulama' di negara ini. Adakah itu dikira boleh membawa kepada syirik?
Kadangkala kita tidak boleh terlalu ekstrim, fikiran kita haruslah terbuka dan tidak terlalu sempit. Jangan mudah membuat kesimpulan, kerana banyak pandangan yang masih menjadi perbahasan para ilmuan. Jadi, jangan melangkaui batasan yang ada. Jika anda semua inginkan rujukan tentang perkara2 seperti ini, anda boleh menonton siri Al-Kuliyyah di TV3 dan Halaqah di TV9 sbg panduan. Biarkan yang ilmu pada sesuatu bidang sahaja yang mengeluarkan kenyataan2 terutama yang berkaitan dengan akidah.

Wassalam.


[Nota: Lihatlah bagaimana beliau meringkaskan ucapan salamnya. Sedangkan bukannya sukar untuk menaip ejaan penuh salam di dalam emel, malah ianya merupakan suatu adab. Jika dalam hal sekecil ini sahaja beliau tidak begitu memberi perhatian, bagaimana pula dengan isi kandungan emel jawapannya?]

Sebagai untuk berkongsi bersama untuk meraih manfaat dan pengajaran darinya, marilah kita merenungi jawapan ana kepada beliau sebagai berikut:

Wa 'alaykum as-Salamu wa rahmatullah.

Bismillaahir-Rahmaanir-Raheem.

Ini bukan soal ekstrim ataupun tidak tetapi soal berhati-hati. Zaman sekarang zaman penuh fitnah, syirik2 yg wujud banyak bersifat syirik khafi (syirik yg tersembunyi).

Kita lihat di akhbar-akhbar yang memaparkan horoskop setiap hari. "Bintang zodiac sekian akan mengalami nasib sekian pada hari ini, bintang zodiac sekian akan mengalami nasib sekian pada hari ini," dan sebagainya.

Subhanallah.. apakah kita mempercayai bahawa bintang zodiac kita yang menentukan nasib kita pada setiap hari atau Allah yang menentukan nasib kita melalui Qadha' dan QadarNya? Apakah catitan-catitan nasib bintang zodiac ini ingin menandingi apa yang sudah tertulis di Luh Mahfuz?

Nah.. bukankah ini boleh mengakibatkan syirik kerana tanpa kita sedari, kita lebih mempercayai horoskop daripada Qadha' dan Qadar Allah? Bahkan, ada juga manusia yang setiap hari mesti membaca horoskopnya untuk mengetahui nasibnya pada hari tersebut.. Subhanallah..

Bukankah ini soal penentuan nasib yang sudah semestinya persoalan 'aqidah? Maka, dalam hal ini, jika seseorang itu lebih mempercayai catitan horoskop daripada keyakinannya akan Qadha' dan Qadar Allah, bukankah itu syirik? Dan memandangkan ramai yang tidak menyedari ianya syirik, maka tidakkah ia menjadikannya syirik khafi?

Umat Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam bukanlah umat 'aqleeyoon (yg banyak menggunakan akal semata-mata dalam memahami agama).

Hal ini dapat kita lihat dalam isu menyapu khauf (alas kaki) dalam berwudhu'.

Dari al-Mughirah bin Syu'bah katanya:

"Aku telah melihat Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam mengusap ke atas kedua alas kakinya."
[Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirimidzi]

Berkata 'Ali radhiyAllahu 'anhu:

"Kalaulah agama ini dari aqal, sudah tentu mengusap bahagian bawah lebih utama dari bahagian atasnya. Aku telah melihat Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam mengusap pada bahagian atas alas kakinya."
[Riwayat Abu Daud dan Daruqutny]

Renungkanlah kata-kata Saiyidina Ali tersebut yang mengindikasikan bahawa agama ini bukan dari akal semata-mata. Dan isu yg disebutkannya adalah isu fiqh, lalu bagaimana pula dengan soal 'aqidah?

Sebab itu, dalam memahami agama, terutama sekali persoalan 'aqidah dan 'ibadah, kita perlu kepada manhaj (metodologi).

Inilah satu isu yg jarang disentuh oleh para asatizah kita, baik di Singapura mahupun di Malaysia sedangkan ianya satu perkara penting sebab ianya merangkumi bagaimana kita menerima, memahami dan mengamalkan agama Islam yang suci lagi murni ini.

Hanya para ustaz dan ulama yang benar-benar cinta pada Sunnah dan memahami akan kepentingan manhaj yang akan menyentuh tentangnya serta menekankan kepentingannya.

Lalu apakah itu manhaj Ahlus Sunnah wal Jama'ah?

Kita tahu akan khutbah terakhir Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam yang menyebutkan tentang pusaka peninggalan Baginda, yakni al-Qur'an dan as-Sunnah, di mana jika kita berpegang teguh kepada kedua-duanya, nescaya kita tidak akan sesat.

Namun, sesiapa saja (Muslim) akan mengaku dia berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Lalu bagaimana kita mengetahui bahawa kita benar-benar berpegang kepada al-Qur'an dan as-Sunnah sebagaimana seharusnya?

Dalam hadith riwayat al-Irbadh bin Sariyah, Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam menyebutkan:

"...Hendaklah kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah Khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyyin, dan hendaklah kamu gigit kepadanya dengan sekuat-kuat geraham kamu..."

[Hadith hasan riwayat Abu Daud dan Tirmidzi]

Dalam hadith sahih tentang umat Islam akan berpecah menjadi 73 golongan, Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam menyebutkan golongan yang selamat (al-firqah an-Najiyyah) sebagai:

"..al-Jamaa'ah, yakni apa (jalan) yang aku dan para sahabatku berada di atasnya pada hari ini."

Dalam hadith-hadith yang sahih, Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam bersabda:

"Sebaik-baik generasi adalah generasiku (sahabat), diikuti dengan generasi yang menurutinya (tabi'in), diikuti dengan generasi yang menurutinya (tabi'ut-tabi'in)."

Maka, berdasarkan dalil-dalil di atas, para ulama Sunnah lagi muktabar menyimpulkan bahawa manhaj kita ialah berpegang teguh kepada al-Qur'an dan as-Sunnah berdasarkan pemahaman kaum Salafus-Salih (yakni para Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut-Tabi'in).

Inilah yang dikenali sebagai Manhaj Salaf, manhaj sebenar Ahlus Sunnah wal Jama'ah.

Maka, setelah memahami persoalan manhaj, kita balik kepada isu perbincangan kita tentang horoskop serta penggunaannya dalam mengenali ciri-ciri teman wanita.

Kita lihat kepada kaum Salafus-Salih. Mereka kaum Salaf ridhwanullahi 'alayhim, khususnya para Sahabat, merekalah yang paling mencintai Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam, yang paling mengerti akan Sunnah Nabi, bahkan yang paling bersungguh-sungguh dalam mengamalkan Sunnah Nabi, dan mereka juga paling mengerti tentang apa yang baik untuk agama dan apa yg buruk utk agama.

Maka, adakah kita melihat mereka, khususnya para Sahabat, bergantung kepada horoskop utk menentukan nasib mereka atau dlm perbincangan ini, utk mengenali ciri-ciri teman wanita mereka?

Jangan kata nak mengenali ciri-ciri teman wanita, nak cari teman wanita pun mereka tak kuasa dan tiada masa untuknya. Mereka sibuk menuntut ilmu agama, berda'wah serta berjuang menegakkan agama Islam.

Mereka sama ada:

1) Dijodohkan, seperti Asma' binti Abu Bakar radhiyAllahu 'anhuma dijodohkan oleh bapanya kepada Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam. Begitu juga Saiyidina Uthman radhiyAllahu 'anhu dijodohkan kepada dua orang puteri Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam.

Atau

2) Apabila hati seseorang dari mereka tertarik kepada seorang wanita, maka beliau akan terus melamar wanita tersebut (tentu sekali dengan istikharah terlebih dahulu.

Poin kedua tersebut bersesuaian dengan hadith riwayat Ibnu Majah yang (lebih kurang) berbunyi:

"Tiada yang lebih baik bagi dua orang yang bercinta melainkan pernikahan."

Di sini Nabi telah menyebutkan "ubat" bagi "penyakit" cinta sebagai pernikahan. Dan bagi orang yang tak mampu utk berkahwin, Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam menggalakkannya berpuasa, sebagaimana sabdanya (lebih kurang berikut):

"Wahai para pemuda, barangsiapa yang mampu, hendaklah dia berkahwin. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah dia berpuasa; sesungguhnya puasa itu perisai baginya."

[Hadith ditukil dari ingatan. Maka sumbernya tak dapat ditukilkan dan moga Allah mengampuni diri saya atas kekurangan dalam menukil hadith ini.]

Dari kedua hadith di atas, dapat kita tanya kepada diri kita sendiri:

Adakah Nabi menganjurkan para Sahabatnya, khususnya para Sahabat muda, untuk berpacaran? Tidak sama sekali. Solusi yang diberikan Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam hanya dua: nikah atau puasa. Noktah.

Lalu mengapa pula kita pada zaman ini "sibuk" mencari pasangan (teman wanita/lelaki), lalu sibuk nak "mengenali" ciri-ciri pasangan kita tersebut?

Sedangkan kita seharusnya sedar hubungan sedemikian atau berpacaran itu sama sekali tidak selamat dari perkara yang tidak baik, dari perkara maksiat seperti berdua-duaan, zina mata dan sebagainya.

Kita tidak menyedarinya kerana mata kita telah dikelabui dengan cinta, bak kata pepatah, cinta itu buta.

Kita perlu sedari bahawa "percintaan yang Islami" antara seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan mahram tidak wujud sama sekali. Percintaan yang Islami, yang suci lagi murni, antara seorang lelaki dan seorang wanita hanya wujud dalam hubungan suami-isteri yang sah!

Paling tidak, ianya mungkin wujud dalam pertunangan. Itupun ramai di antara kita seringkali langgar batas. Ini adalah kerana walaupun seorang lelaki telah bertunang dengan seorang wanita, ianya tidak menghalalkan apa jua hubungan antara mereka sebagaimana halnya suami isteri.

Pasangan yang bertunang tetap dihukum sebagai ajnabiyyah (bukan mahram)! Maka apabila si lelaki ingin menghubungi atau berjumpa dengan tunangnya, tunangnya tersebut harus bahkan mesti ditemani oleh mahramnya! Dan mahram bagi seorang wanita adalah seorang lelaki seperti ayahnya, abangnya ataupun adik lelakinya. Maka sedarlah para pembaca sekalian! Bangunlah dari tidurmu dan lamunan mimpimu! Insaflah!

[Isu berkaitan, "Bolehkan saya menelefon tunang saya?" Soal Jawab bersama seorang muhaddith masa kini, Shaykh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah. Dalam bahasa Inggeris:
http://www.minhaj-us-sunnah.com/index.php?optionfiltered=com_content&task=view&id=92&Itemid=2]

Bahkan, saya pasti kita semua tahu akan hadith Nabi sallAllahu 'alayhi wa sallam berkenaan memilih calon isteri, di mana Baginda menyebutkan bahawa seorang wanita itu dipilih berdasarkan rupanya, keturunannya, hartanya, ataupun agamanya; maka hendaklah kita memilih wanita berdasarkan agamanya.

Apakah panduan tersebut tidak cukup bagi kita hingga kita perlu bergantung pula kepada horoskop untuk memilih pasangan hidup kita?

Nah, dengan izin Allah subhanahu wa ta'ala, saya bukan saja telah menerangkan bagaimana isu horoskop ini sebenarnya isu 'aqidah yang boleh membawa kepada syirik (bahkan syirik khafi), saya juga telah membentangkan pelbagai permasalahan yang timbul daripada emel asal ini sehingga saya perlu membincangkannya secara panjang lebar sebegini.

Akhir kalam dari saya, kita telah lama dan jauh menyimpang dari Sunnah Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam, sedangkan dalam Khutbatul-Haajah, Baginda telah bersabda:

"Sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah (al-Qur'an), dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam."

Kita sudah lama tidak mencontohi para Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut-Tabi'in ridhwanullahi 'alayhim sedangkan Rasulullah sallAllahu 'alayhi wa sallam telah menyifatkan mereka sebagai 3 generasi terbaik Muslim.

Bahkan, akhlak, adab dan budi pekerti kita sebagai Muslim telah lama merosot kerana terlampau banyaknya bergaul dengan orang-orang kafir sehingga kita telah terpengaruh dan teresap dengan budaya mereka yang bercanggahan dengan ajaran Islam.

Maka, bersamalah kita muhasabah diri dan memperbaiki diri kita sebagai umat Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam yang sudah tentu mengaku mencinta Baginda sallAllahu 'alayhi wa sallam.

Dalam waktu kita berada di dalam akhir Ramadhan, selain daripada memperbanyakkan ibadah kepada Allah subhanahu wa ta'ala, marilah kita juga meningkatkan cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu 'alayhi wa sallam dengan berusaha mengamalkan Sunnah Baginda yang sahih serta mencontohi para Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut-Tabi'in ridhwanullahi 'alayhim.

Yang benar itu dari Allah subhanahu wa ta'ala, yang buruk dan kurang itu dari kekurangan saya sebagai hamba yang dha'if.

SubhaanAllaahi wa bihamdih, subhaanakAllaahumma wa bihamdika, asyhadu an laa ilaaha illaa anta, astaghfiruka wa atoobu ilaik.

Allaahumma salli 'alaa Muhammad, wa 'alaa aali Muhammad, wa baarik 'alaa Muhammad wa 'alaa aali Muhammad, kama sallayta wa baarakta 'alaa Ibraaheem wa 'alaa aali Ibraaheem, innaka Hameedum-Majeed.


Wa as-Salamu 'alaykum wa rahmatullah.


al-Faaqir ilAllaah.

2 comments:

Anonymous said...

Salam.
Saudara, saya ingin bertanya. Adakah ucapan salam yang ringkas inipun menjadi suatu isu yang besar untuk diketengahkan?
Sepatutnya isu yang wajib kita ketengahkan dengan lebih serius adalah berhubungan dengan isu untuk menyatukan kembali umat Islam kita yang kini sudah berpecah-belah.
Saudara, sila rujuk pada Surah Yunus, ayat yang ke-10 ada menerangkan mengenai ucapan Salam. Ucapan tersebut bukan sahaja diguna pakai di negara kita sahaja, tetapi juga di seluruh negara yang lain misalnya Bosnia, India,dan juga negara antarabangsa yang lain. Jadi, tidak perlu merasa pelik dengan ucapan yang nampak sahaja ringkas, tetapi memang dinyatakan di dalam Al-Quran Nur-Karim.
Sekian.
Wabillah Hitaufiq-WalHidayah.
Assalamu'alaikum Warahmatullah Hiwabarokatuh.

Unknown said...

Wa 'alaykum as-Salamu wa rahmatullah.

Ucapan Salam merupakan perkara yang basic atau asas dlm agama Islam. Dari ucapan salam ni saje boleh memberi gambaran ttg sikap atau attitude orang tersebut.

Kerana ucapan salam yang penuh bukanlah sukar utk dilafazkan mahupun ditaipkan (kecuali di dlm sms).

Ucapan salam yg sempurna (As-Salamu 'alaikum atau Salamun 'alaikum) merupakan adab yang diajarkan Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Keengganan menulis ataupun menaip salam secara sempurna menunjukkan kurangnya adab pada diri kita.

Apatah lagi apabila sekadar "salam" (berbanding "as-salamu 'alaikum") bermakna "peace", yakni sekadar mengucapkan "peace", lantas menyerupai perbuatan org kafir. Sdgkan Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam melarang kita drpd menyerupai org kafir.

Sebab salam itu merupakan satu doa. Penting utk disebutkan atau ditaip "'alaikum", kerana hanya dgn "'alaikum" doa salam itu tertuju kpd seseorg.

Dan ianya juga menunjukkan sikap kita yg kurang peka utk menepati ajaran dan adab yg diajarkan Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam.

Kalau perkara asas yg merupakan adab spt ini saje sukar itu kita amalkan dgn baik, bgmana nak bincangkan ttg isu yg lebih besar?

Wallahu a'lam