Tuesday, April 05, 2011

"..sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim."

"Laa ilaaha illaa anta, Subhaanaka innii kuntu minazh-Zhaalimiin." (Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim.)

Ayat yang cukup masyhur, ramai pasti sudah tahu. Ayat yang biasanya dibaca dalam keadaan merasakan diri penuh dosa.

Kisah Nabi Yunus meninggalkan kaumnya kerana merasakan mereka tidak akan menerima dakwahnya.

Tatkala di dalam pelayaran bahtera, ribut taufan melanda. Barang muatan terpaksa dibuang ke laut demi menyelamatkan bahtera daripada karam.

Namun, ianya tidak memadai. Nakhoda memutuskan salah seorang daripada mereka terpaksa dibuang ke laut.

Undian dijalankan beberapa kali. Tiap kali terkena kepada Nabi Yunus.

Nabi Yunus merasakan inilah hukuman dari Allah kerana melarikan diri daripada tanggungjawab dakwah. Beliau rela dibuang ke laut.

Tatkala dibuang ke laut, ikan Nun (yang diibaratkan seperti ikan paus) memakannya. Selama di dalam perut ikan Nun, beliau bermunajat, khususnya membaca ayat ini. Menyatakan kekesalan, menyatakan keinsafan, mengharapkan rahmat dari Tuhan sekalian alam.

Ternyata ikan Nun membawanya ke pantai, pulang kepada kaumnya. Kaumnya telah insaf kerana khuatir datangnya azab setelah ditinggalkan Nabi Yunus. Mereka menyatakan keimanan mereka.

Pengajaran:
- ayat ini ayat motivasi, untuk membangunkan semangat yang telah patah, membangkitkan ikhtiar mereka yang berputus asa.

- manusia itu lemah, tak lepas daripada kesalahan dan kesilapan. Sentiasa memerlukan petunjuk daripada Tuhannya.

- Dengan mengakui kelemahannya sebagai hamba, lantas menyatakan dan meyakini Allah sebagai Tuhannya, sebagai Tuhan yang disembah, juga Rabbul 'Alamin, di situlah kekuatan, di situlah dorongan dan motivasi, di situlah dengan rahmatNya Allah menunjukkan jalan keluar bagi permasalahannya.

Wallahu a'lam.

(Nota ini asalnya diterbitkan di Facebook pada 6hb Mac 2011)

Ada Apa Dengan "Label" Diri?

Tidak dinafikan, label itu ada kalanya perlu.

Label "Melayu" akan memperkenalkan seseorang sebagai berbangsa, berbahasa dan berbudaya Melayu. Begitu juga dengan "label" Cina, India dan selainnya.

Ini akan menjadikan kita lebih peka akan perbezaan antara kita, sehingga jika diadakan kegiatan, kita memastikan tiada perkara yang mungkin menyinggung bangsa yang berlainan.

Begitu juga, bila diadakan jamuan, maka akan prihatin untuk pastikan ada hidangan yang halal (untuk orang Melayu yang pastinya Muslim), yang tiada daging lembu (peka terhadap "pantang larang" sebahagian orang Cina dan juga orang India terhadap daging lembu) dan yang vegetarian (bagi penganut Hindu dari kalangan orang India, juga sebahagian orang Cina).

Namun, seringkali juga kita ketepikan label ini. Dalam kehidupan seharian, kita lebih utamakan diri sebagai warga Singapura, bekerja dan beriadah bersama, membangunkan ekonomi dan negara. Lagi-lagi bila pilihan raya nak dekat. (Hehe, bergurau sahaja.)

Bererti, apabila ada sesuatu maslahat, maka sesuatu label itu perlu diketepikan. Malah, ada kalanya perlu ditinggalkan.

Misalnya, seperti yang berlaku di negara jiran. "Kami orang PAS!", sorak sekumpulan. "Kami orang UMNO!", teriak kumpulan lawan.

Sehingga kecoh sebab bila nak solat berjemaah pun sampai ada dua jemaah: satu jemaah PAS, satu jemaah UMNO. Bayangkan, dua jemaah dalam satu masjid! Subhanallah.

Kepada saudara kita di Malaysia, usahlah kita lupa akan "label" utama kita sebagai Melayu dan juga sebagai Muslim. Apakah wajar sesama Muslim bercakaran dan berpecah-belah?

Dalam situasi seperti ini, teramatlah wajar diketepikan, malah ditinggalkan "label" diri demi perpaduan ummah, bersolat dalam satu jemaah, kerana kita sesama Muslim.

Dan cakap tentang solat, mujur sekarang kita tidak begitu hiraukan tentang "label" mazhab fiqh, khususnya "Aku Syafie" dan "Aku Hanafi". Sehingga yang bermazhab Syafie enggan solat di belakang seorang Hanafi kerana khuatir dia telah melakukan sesuatu yang membatalkan wudhu' (menurut mazhab Syafie tetapi tidak menurut mazhab Hanafi). Begitu juga yang Hanafi tidak akan solat Asar di belakang seorang Syafie kerana belum masuk waktu (menurut mazhab Hanafi). Alhamdu lillah, mujur tidak berlaku lagi seperti ini, ataupun telah berkurangan.

Malah, dahulu, dikatakan penganut mazhab Syafie tidak boleh bernikah dengan penganut Hanafi. Dan ada pula fatwa yang membolehkan seorang lelaki Hanafi bernikah dengan seorang wanita Syafie dengan qiyas bolehnya lelaki Muslim bernikah dengan wanita Ahli Kitab. Makanya, dengan fatwa itu juga bererti lelaki Syafie tidak boleh bernikah dengan wanita Hanafi atas qiyas yang sama. Subhanallah, sampai begitu sekali.

Alhamdu lillah, mujur sekarang tidak lagi begitu. Dalam situasi seperti ini, memang wajar kita tinggalkan "label" diri dengan tetapi mengidentitikan diri sebagai Muslim.

Mungkin, atas dasar yang sama, boleh saya sarankan agar "label" Sufi dan Salafi ditinggalkan. (Saya pasti ada yang akan bantah dan marah.) Atau paling tidak, diketepikan dalam meraih maslahah memelihara perpaduan masyarakat Islam, dan atas dasar "wa ta'awanu 'ala al-Birr wa at-Taqwa" (dan bekerjasamalah atas kebaikan dan ketaqwaan).

Kerana yang lebih utama bukanlah label "Sufi" itu sendiri sehingga ada yang berkata, "Kami ahli Tasawwuf sedangkan kamu bukan", tetapi menghidupkan dan menyemaikan tazkiyyatun-Nafs (penyucian jiwa) dalam kehidupan seharian.

Kerana yang lebih utama bukanlah label "Salafi" itu sendiri sehingga ada yang berkata, "Kami Salafi, kamu bukan; kami berada pada kebenaran, kamu bukan", tetapi menghidupkan dan menyemaikan manhaj Salaf, yakni untuk berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan pemahaman Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut Tabi'in.

Kerana pada akhirnya, hanya satu label yang kekal pasti, sebagaimana tertera pada kad pengenalan dan passport, "Muslim". Kerana "label" inilah yang membawa erti penyerahan dan pengabdian kepada Yang Esa, mengikuti syariat Nabi Muhammad dan bersolat menghadap qiblat yang satu.

Wallahu a'lam

Ibn Shamsud-Deen
05042011

Friday, March 04, 2011

"Saya selalu meruqyah diri, tetapi kenapa masih terkena gangguan lagi?"

Soalan daripada Yeszeet Mylake:

Kenapa setiap hari saya baca ruqyah tapi masih ada gangguan juga? Apa silap nya ye? Silap dalam bacaan ke?

Jawapan saya:

Seperti pesanan Syeikh Abdullah bin Muhammad as-Sadhan (ahli ruqyah dari Arab Saudi), ruqyah tu ibarat ubat. Sebagaimana flu tidaklah sembuh dengan hanya sekali makan ubat, tetapi dengan beberapa kali, bukan? Manakala anti-biotic pula perlu habiskan prescription.

Begitu juga ruqyah. Perlu berulang kali. Sebab itu saya lebih condong kepada pdekatan Syeikh as-Sadhan. Tak perlu ruqyah lama-lama, 10 min atau 15 min memadai. Lagipun, daripada pengalaman peribadi sebagai pesakit, lagi lama ruqyah, lagi penat badan. Mungkin lepas 3 jam pulih. Tetapi kerana tubuh terlalu penat dan letih, maka tak mustahil terkena gangguan lagi.

Nah, kalau ruqyah itu ubat, apa pula vitaminnya? Kalau tubuh ada vitamin, begitu juga rohani kan?

Vitamin perlu utk jaga immunity jasmani. Maka bg rohani, vitaminnya adalah dzikrullah. Dzikr pagi dan petang seperti dalam al-Ma'tsurat (susunan Hasan al-Banna) atau Hisnul Muslim (susunan Syeikh Sa'd bin Ali bin Wahf al-Qahtani) hendaklah diamalkan setiap hari dengan istiqamah, walaupun sedikit (seperti dengan membaca Ayatul Kuri dan 3 Qul sahaja).

Begitu juga bacaan al-Quran, di mana setiap hari kita baca sebahagian, baik satu juz, separuh, suku, atau kurang daripada itu. Yang penting, dijadikan wirid harian secara istiqamah.

Dgn itu, dapat kita renungi bahawa hambatan yang timbul adalah tidak istiqamah disebabkan kelalaian kita sendiri. Dan saat lalai itulah jin mudah merasuk lagi, terutama tatkala syiddatul ghadhab di mana kita tak sebut nama Allah.

Syiddatul Ghadhab, sebagaimana dijelaskan Syeikh Wahid Abdussalam Bali (ahli ruqyah di Mesir), adalah gejolak emosi, yg mana mafhumnya adalah keadaan:

  • terlalu gembira
  • terlalu sedih
  • terlalu marah
  • terlalu takut
  • juga termasuk terlalu bernafsu (sbb tu nabi ajarkan doa perlindungan bg suami isteri yg berjima')

Wallahu a'lam.

Al-Faqir ilAllah,
Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree

Kritikan Kasih - Perihal Islamiq.sg

(Nota berikut diterbitkan di FB saya pada 2 Mac 2011 pada 1.44pg.)

Teringat tulisan Ust Hasrizal (Abu Saif, Saifulislam.com) ketika menegur Dr Asri tatkala beliau baru menjawat kedudukan Mufti Perlis.

"Anda akan dapati orang2 yang paling lantang mengkritik anda adalah orang yang paling menyayangi anda." (aw kama qal)

Begitu juga tulisan beliau di mana beliau berkata, "Maafkanku, wahai saudara Salafi, kerana silap menunjukkan kasih sayang". Kerana ada yang bertanya kenapa beliau teramat lantang mengkritik mereka yang beraliran Salafi.

Atas nada yang sama dan sifat serta sikap yang serupa, ingin saya menyatakan kritikan saya kepada golongan Salafi.

Pertama sekali, janganlah kita salahkan orang awam jika mereka lari daripada da'wah Salafi.Kerana da'wah Salaf seharusnya penuh kelembutan dan kesantunan, penuh hikmah dan kesabaran.

Sebagaimana nasihat Syeikh Abdul Aziz ibn Abdullah ibn Baz, "Saat ini bukanlah saatnya untuk kekerasan. Saat ini adalah untuk kelembutan, kesabaran dan kebijaksanaan (hikmah)." Aw kama qal.

Akan tetapi, kelembutan dan kesantunan ini didapati pada da'wah Sufi. Sedangkan kita yang mengaku Salafi terlalu cepat menghukum, terlampau lantang mengkritik (tanpa hikmah) dan terlalu keras dalam menegur.

Kedua, mereka kaum Sufi lebih kelihatan tsiqah (dipercayai). Lihatlah, mereka mendalami kitab-kitab ulama mereka seperti al-Hikam, al-Ihya' dan An-Nashihah ad-Diniyyah. Mereka juga mendalami ilmu alat seperti Usul Fiqh dan al-Maqasid.

Sedangkan kita yang mengaku Salafi, kita baru belajar tetapi terbawa-bawa dengan semangat lalu cepat menghukum orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Kita tidak mendalami ilmu alat, malah masih terkial-kial dengan bahasa Arab. Ada juga di antara kita masih lemah dalam tajwid (malahan makhraj huruf) tetapi berani tampilkan diri untuk imamkan solat kerana merasakan lebih memahami Sunnah.

(Sedangkan yang Sunnah adalah untuk mendahulukan orang yang lebih menguasai al-Quran. Lihat sahaja kisah Syeikh Bin Baz dan Syeikh Albani pada musim haji, apabila Syeikh Bin Baz meminta Syeikh Albani mengimamkan solat Jemaah, Syeikh Albani berkata, "Andalah yang ke hadapan. Anda syeikh kami."
(Kerana menghormati kedudukan Syeikh Bin Baz sebagai Mufti Besar Arab Saudi.)

Akan tetapi, Syeikh Bin Baz menjawab, "Tidak, tidak, tidak. Anda dan saya setara dalam al-Quran, tetapi anda lebih memahami as-Sunnah." Al-Quran dijadikan kriteria utama bagi seorang imam sesuai Sunnah Nabi.)

Begitu juga, kita memilih-milih kata-kata ulama yang sesuai dengan kehendak kita, dengan semangat kita yang berkobar-kobar untuk membuktikan kita benar dan orang lain salah.

Kita cepat menghukum kaum Sufi sebagai batil dan menyerang mereka. Sedangkan tokoh yang kita kagumi, yakni Imam Ibn Qayyim juga dianggap sebagai seorang Sufi. Malah sebahagian ulama dan penulis menyifatkan beliau sebagai pelopor Tasawwuf-sunni (tasawwuf yang disejajarkan dengan as-Sunnah, atau yang biasanya diistilahkan sebagai tazkiyyatun-nafs.)

Kita lupa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah juga seorang Sufi, dari segi ibadahnya, dzikirnya, kekuatan rohaninya. Yang mana kita sedikitpun tidak sepertinya. (Moga Allah merahmati mereka berdua.)

Ini membawa saya kepada perihal sebuah laman web yang bernama Islamiq.sg.

Saya tidak menafikan niat murni dan tujuan baik admin Islamiq. Saya kenal secara peribadi admin Islamiq walaupun tidak rapat. Malah diajak bersama-sama menubuhkan Islamiq tetapi atas sebab-sebab tertentu, saya tidak jadi.

Kebelakangan ini, banyak perkembangan Islamiq yang amat tidak saya setujui. Sesiapa yang mengikuti saya di FB tentu sekali melihat betapa lantangnya saya mengkritik Islamiq.

Beberapa persoalan yang timbul:

1) Hakikatnya, Islamiq "laman yang majhul".

Memang, admin Islamiq melenting apabila saya menyatakan demikian.

"Bagaimana anta boleh mengatakan ana majhul sedangkan anta kenal ana?" Marahnya beliau dengan saya ketika itu sehingga menimbulkan dakwaan-dakwaan tertentu terhadap saya, dakwaan-dakwaan yang tidak berasas yang merupakan andaiannya sendiri, serta mempertikaikan manhaj saya. (Tak perlulah saya menyebutkan dakwaan-dakwaan tersebut di sini yang bagi saya tidaklah relevan, juga demi memelihara aibnya.)

Saya berkata bagi pihak pembaca. Pembaca tidak kenal siapa admin Islamiq. Ramai yang pada awalnya menyangka ianya laman web milik al-Fadhil Ustaz Hamzah Jummat. Namun, tatkala itu beliau hanya penulis penyumbang (namun masih dilindungi identiti sebenar penulis artikel di sebalik nama kunyah samaran.) Hanya beberapa bulan yang lalu baru dinyatakan bahawa al-Fadhil Ustaz Hamzah Jummat selaku penasihat.

Pembaca dapat mempercayai laman web Tariqat Ahmadiyah Idrisiyah kerana dapat dinisbahkan kepada al-Fadhil Ustaz Hasbi Hassan yang dapat dipertanggungjawabkan.Pembaca dapat mempercayai FB al-Fadhil Ustaz Mazdiuky kerana ianya profil peribadi beliau dan beliau dapat dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Adapun Islamiq, baik lamannya mahupun FBnya, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan?

2) Kepada Salafiyun di Singapura, lupakah anda as-Sanad min ad-Din? Lalu bagaimana kita boleh menerima bulat-bulat artikel-artikel di Islamiq, apabila kita tidak mengenali siapa penulisnya? Terutama sekali bagi artikel-artikel yang tidak dinyatakan siapa penulisnya.Kalau artikel agama, mungkin admin Islamiq boleh menulis dan menyusun dengan menukil di sini dan di sana. Tetapi apakah layak beliau membuat kesimpulan sendiri? Apakah beliau bertauliah dalam agama?

Sebagai contoh, artikel Solat Hajat yang merupakan jawapan kepada seorang penanya. Saya sendiri belajar dengan al-Fadhil Ustaz Hamzah Jumaat selama 7 tahun, beliau tidak pernah menyimpulkan sedemikian. Beliau membuat kesimpulan yang sama sekali tidak disebutkan admin Islamiq.

Maka, admin Islamiq membuat kesimpulan sendiri? Nampaknya begitu. Apakah beliau bertauliah? Setahu saya tidak. Apakah Islamiq telah "melangkahi" penasihatnya? Mungkin. Kerana jika beliau telah merujuk kepada al-Fadhil Ustaz Hamzah selaku penasihat, tentu sekali kesimpulan artikel tersebut adalah kesimpulan al-Fadhil Ustaz Hamzah sendiri, malah akan dinyatakan ianya dijawab oleh al-Fadhil Ustaz Hamzah.

3) Ada yang mengatakan bahawa "memandangkan Islamiq dipantau dan dinasihati oleh seorang yang istiqamah manhajnya, maka ianya satu usaha yang dialu-alukan."

Persoalannya, adakah admin Islamiq istiqamah manhajnya setelah dinyatakan poin-poin di atas?

Malah, pendirian/manhaj admin berubah-rubah sepanjang tempoh dua tahun yang dahulu.

Dahulu, beliau akan menukil daripada pensyarah-pensyarah daripada Malaysia seperti Dr Johari Mat, Dr Azwira dan lain-lain. (Ini terpapar dalam blog Multiply peribadi beliau.) Namun, kita hampir tak lihat tukilan daripada mereka di dalam Islamiq.

Dahulu, beliau akan menukil sebahagian pendapat Dr Yusuf Qaradhawi. Sekarang, sesiapa yang menukil Dr Qaradhawi akan "dipertikaikan manhajnya", termasuklah diri saya.

Dahulu, beliau akan merujuk kepada tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkenaan isu-isu kewangan, terutama kewangan Islam dan Takaful. Sekarang, langsung tiada tukilan. Malah, terdapat kritikan halus mempertikaikan takaful yang hanya ditukil daripada satu sumber sahaja. Apakah beliau telah memahami Fiqh Muamalah? Fahamkah beliau apa yang telah beliau terbitkan?

Persoalan yang menyeluruh: beginikah adab ilmu yang dianjurkan kaum Salafus shalih?Kepada admin Islamiq, belum terlambat untuk memperbaiki keadaan, memulihkannya bersesuaian dengan adab ilmu yang dianjurkan kaum Salaf.Begitu juga kepada Salafiyun di Singapura, kembalilah kepada adab ilmu, fahamilah ia dan amalkanlah.

Akhir kata, saya terpaksa menulis perkara ini secara terbuka apabila mendapati admin Islamiq me-radd orang lain, khususnya al-Fadhil Ustaz Mazdiuky, secara terbuka. Rasanya lebih adil begini. Dan saya tiada sebarang motif pun untuk membela al-Fadhil Ustaz Mazdiuky; saya bukan murid beliau, tidak pula sefikrah dengan beliau. Saya hanya ingin perkara ini menjadi adil, juga atas penghormatan kepada al-Fadhil Ustaz Mazdiuky selaku seorang guru agama yang cukup dikenali di sini, dan kesedaran bahawa kita sebagai pelajar, adabnya adalah untuk belajar dan menilaikan sendiri, bukan mempertikaikan orang lain, terutama sekali asatizah.

Sekian,
al-Faqir ilAllah,Yg "dipertikaikan manhajnya" (oleh Islamiq dan lain-lain),
Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree
(Mohamed Farhan Bin Mohamed Samsudin)


===========================

Tambahan (4 Mac 2011):

Beberapa hari yang lalu, al-Fadhil Ustaz Hamzah Jummat ada menghubungi saya bahawa laman Islamiq bukan milik beliau 100%. Namun, benar bahawa beliau memantau dan menasihatinya, dan menyemak setiap artikel yang diterbitkan. Adapun profile Islamiq di Facebook bukan dalam pemantauannya.

Wallahu a'lam.

Ibn Shamsud-Deen as-Sanghafooree

Monday, January 24, 2011

"Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum..": Ada benarnya kenyataan MM Lee

Tetiba kecoh di Facebook berkenaan kenyataan MM Lee. Ku sangkakan "hujan lebat", lah.. "gerimis" je.. kenapa harus kita melatah dalam respons kita terhadapnya? Sehingga ada yg mencemuh beliau dgn keras.. Subhanallah.. begitukah akhlak kita sebagai Muslim? Bukankah kita umat Muhammad? Lupakah kita bahawa Rasulullah pernah dilempari najis dan batu? Apakah Baginda "melatah", apatah lagi mencemuh? Tidak.

Lalu mengapa kita tidak menunjukkan akhlak dan keperibadian yang sama, wahai Umat Muhammad?

Di laman ( http://www.mysinchew.com/node/51920 ), MM Lee ditukil sebagai berkata:
"I think the Muslims socially do not cause any trouble, but they are distinct and separate," Lee added, calling on the community to "be less strict on Islamic observances."

Kalau kita sekadar mengambil bahagian "be less strict on Islamic observances", memang kita akan melatah dan mendakwa beliau memperkecilkan agama Islam.

Akan tetapi, kita perlu adil dalam "menghukumi" atau menilai kenyataan beliau. "socially do not cause any trouble" menunjukkan beliau mengiktiraf usaha kita hidup bersama sebagai warga negara Singapura.

Namun, "isu"nya adalah "they are distinct and separate".

Di sini, saya ingin menguas poin tersebut. Dan saya amat menyetujuinya.

1) Sebahagian Muslim di Singapura insist untuk memakai jubah dan serban, walaupun dalam pengangkutan awam.

Di sini, saya tak katakan tak boleh berjubah dan berserban tetapi perlukah? Kalau menghadiri majlis tertentu, seperti sebahagian pengikut tasawwuf dengan majlis qasidah dan Maulidur Rasul, memanglah sesuai.

Tetapi untuk membiasakannya, perlu kita renungkan dengan teliti. Kerana ianya membuat kita terlalu distinctive dan mengasingkan diri. (Yelah, kalau dah berjubah, takkan ke ECP dalam jubah kan? Atau ke Orchard dengan berjubah.)

Muslim Singapura majoritinya berbangsa Melayu, dengan sebahagiannya berbangsa India. Jubah dan serban bukanlah budaya kita. (Di sini saya sengaja tak sebutkan bangsa Arab, bukan untuk meminggirkan mereka tetapi untuk memudahkan penyampaian.)

1.1) Apakah dianjurkan berjubah?

Tidak. Tiada anjuran dari Nabi saw. Yang ada adalah anjuran utk memakai menutup aurat.

1.2) Bukankah Sunnah untuk pakai jubah?

Benar, ianya Sunnah dalam erti Nabi mengamalkannya. Namun, perlu kita bezakan antara Sunnah Tasyri' (yg disyariatkan menjadi amalan agama) dan Sunnah Adah (sunnah disebabkan adat kebiasaan).

Nabi saw merupakan orang Arab, tentulah Baginda pakai jubah. Andaikata Baginda orang India, Baginda akan pakai kurta.

Juga, jubah zaman Nabi saw tidak sama dengan jubah zaman sekarang. Begitu juga serban. (Serban pun ada macam-macam jenis. Bahkan, ada orang Arab mengatakan, serban yang dipakai orang Melayu lebih kepada serban jenis yang dipakai orang Pakistan, bukan jenis yang orang Arab pakai. Seharusnya pakai seperti orang Arab sebab ada riwayat di mana Nabi saw mengajarkan Bilal cara memakai serban seperti orang Arab kerana beliau berjuang bersama-sama orang Arab.)

Jadi, berjubah itu wajib tidak, sunat pun tidak. Mubah sahaja. Seseorang akan dapat pahala berdasarkan niatnya, seperti memakai jubah kerana Nabi suka dan biasa pakai jubah.

1.3) Islam tidak datang untuk menghapuskan sesuatu budaya.

Imam Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa Islam tidak datang untuk menghapuskan sesuatu budaya tetapi untuk mencantikkannya lagi (bersesuaian dengan ajaran Islam).

Ini bererti datangnya Islam kepada bangsa Melayu bukannya untuk menghapus budaya baju kurung/baju Melayu dan menggantikannya dengan jubah Arab. Kalau tak, agama Islam jadi agama yg ashabiyah atau racist sehingga memuliakan orang Arab melebihi bangsa lain. Sedangkan ajaran Islam menganjurkan konsep "semua manusia sama, yg membezakan adalah taqwa".

Kalau zaman sekarang, "adat"nya adalah untuk berkemeja dan seluar. Apakah salah sedemikian? Tidak, selagi menepati konsep menutup aurat serta sopan dipakai.

2) Sebahagian Muslimin insist pakai pakaian separuh betis atau atas buku lali.

Dahlah berjubah, terlampau singkat pula tu. Orang Arab pun tak pakai singkat macam tu.

Kalau nak ke pasar atau ke East Coast, memang elok pakai seluar 3/4 atau bermudas atau yang separuh betis. Pergi masjid dengan pakaian sedemikian, dianggap kurang sopan atau tidak sempurna (menurut masyarakat Melayu). (Usah kita lupa, agama/hukum Islam turut mengambil kira 'urf atau adat masyarakat.)

Takkan nak ke pejabat pakai seluar separuh betis? Kalau nak jadi badut dan ditertawakan, silakan. Benar, kita nak amalkan Sunnah. Akan tetapi, kalau ianya menyebabkan orang mentertawakan Sunnah, kita perlu tanggung juga.

Apa salahnya panjang seluar tu sampai paras buku lali? Sesuaikanlah dengan keadaan kita.

Apabila Saiyidina Umar menziarahi Syam, beliau dapati Muawiyah isbal dalam berpakaian (ataupun berpakaian labuh) lalu menanyakannya. Muawiyah menjawab bahawa penduduk Syam tidak biasa dengan pakaian yang tidak isbal. [Lagipun, kalau musim sejuk, takkanlah nak pakai pakaian yang singkat. Mencari penyakit tu..]

Namun, ada sebahagian Muslimin yang menganggap seolah-olah pakai seluar separuh betis itu usul (prinsip) dalam agama. Ini jelas cara pemikiran yang bermasalah (dan akan menyebabkan masalah dalam soal-soal lain.) (kenyit mata kepada Ust Haniff. ;) )

3) Janggutnya serabai lah..

Sekali lagi, memang Sunnah. Namun, janganlah sampai menjadi penyebab orang mengejinya.

Andai kita berpendapat tidak boleh trim janggut sekalipun, apa salahnya merapikannya. Pakai minyak zaitun atau hair lotion, rapikannya agar kelihatan kemas. Sebahagian Mat Saleh pun berjanggut walaupun bertugas di pejabat sebagai executive, tetapi mereka tetap jaga penampilan yang baik lagi profesional.

Saya tak ingin ulas panjang bab ini kerana telah pun diulas Yasir Qadhi yang diterbitkan di Muslimmatters.org. Sila rujuk kepadanya.

Duta Saudi dan masyarakat Muslim di Barat

Teringat saya dengan Dr Amin Kurdi, mantan Duta Saudi ke Singapura. Kalau ikutkan, sebagai orang Arab, beliau seharusnya berjubah. Namun, ketika bertugas di Singapura, apakah yang dipakainya? Kemeja, seluar, tali leher dan kot. Kenapa? Sesuai dengan keadaan.

Begitu juga masyarakat Muslim di Barat. Mereka masih berjanggut (baik lebat mahupun yang dipotong rapi). Namun, pakaian kebiasaan mereka adalah kemeja dan seluar, sesuai dengan kebiasaan masyarakat New York (misalnya).

Imam Faisal Abdul Rauf (yang seharusnya memimpin Masjid New York yang ingin dibina), pernahkah kita melihat beliau berjubah? Tidak. Semasa beliau berceramah di sini, tidaklah beliau berjubah. Apakah ianya mengurangkan kedudukan dan kredibiliti beliau? Tidak.

Begitu juga sebahagian khatib di Barat seperti Abdur Raheem Green dan Khalid Barry. Bila jadi khatib jumaat, mereka berjubah tetapi tidak berkopiah. Kenapa? Kerana bukan dari 'urf masyarakat Barat untuk memakai alas kepala bagi kaum lelaki. Bahkan, ada khatib yang sekadar memakai kemeja dan seluar! (Mungkinkah kita melihat Imam di Masjid al-Falah berbuat demikian?)

Dan ramai daripada kita mengenali Nouman Ali Khan, yang boleh disifatkan sebagai mufassir kontemporari. Beliau berjambang tetapi tak pernah berjubah. Penampilan beliau sentiasa kemas dan rapi. Apakah menjejas kredibiliti beliau? Tidak sama sekali. Kerana yang penting adalah penyampaiannya.

[Teringat kisah Imam Abu Hanifah berdebat dengan seorang Ateis. Bila ulama yang hadir tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan si Ateis, Abu Hanifah menawarkan diri untuk menjawab. Si Ateis bertanya, "Siapakah kamu? Para ulama yang berjubah dan berserban tidak mampu menjawab, apakah mungkin kamu menjawab?" Ini disebabkan Abu Hanifah hanya memakai gamis dan kopiah. Imam Abu Hanifah lalu menjawab, "Ilmu itu tidak terletak pada serban dan jubah tetapi terletak di dalam dada."]

Adapun Muslimah di sana, mereka masih berhijab tetapi tidaklah begitu menonjolkan hijab mereka. Mereka masih berpakaian "modern", namun tetap menutup aurat.

Maka, Muslimah Singapura boleh berjubah, tetapi usahlah pakai serba hitam seperti wanita Iran atau Saudi. Pakailah yang ada warna sikit atau ada corak dan manik-manik agar kelihatan cantik dan tetap menutup aurat.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum..

Makanya, sebagaimana pepatah Melayu di atas, sesuaikanlah pemakaian dan penampilan kita dengan keadaan dan suasana kita di Singapura. Usah terlalu membezakan dan mengasingkan diri. Memang benar hadith menyebutkan beruntung orang-orang yang asing tetapi apakah yang dimaksudkan hadith itu adalah dalam soal pemakaian? Sedangkan kita sebenarnya dianjurkan berpakaian sesuai dengan kebiasaan masyarakat.

Tulisan ini sekadar pandangan saya secara peribadi. Dan hanya menyentuh soal pemakaian dan penampilan yang bagi saya penting sebab ianya mempengaruhi first impression. Memang benar ada aspek lain yang perlu dibincangkan, seperti adab interaksi dengan non-Muslim.

Perlu juga kita menimbangkan maslahat. Kalau kita terlalu membezakan diri dari segi penampilan, ianya akan menjejas usaha kita untuk mendekati masyarakat bukan Islam. Lalu bagaimana kita akan berdakwah?

Pada setiap tempat ada cara dan pekertinya. Hendaklah kita adaptasi diri sesuai dengan pepatah Melayu di atas, selagi mana tidak bercanggah dan menyalahi Syarak.

Sebagai canda untuk menutup tulisan ini, saya menukil Ustaz Akhil Hayy:

"Masuk kandang kambing mengembek,
Masuk kandang lembu mengembu,
Masuk kandang kerbau mengembau,
Masuk kandang harimau, kau masuk seorang, aku tak nak."

Kekeke. =)

Tuesday, January 11, 2011

Memetik Faidah Akhlaqiyah dari Kisah Al-Allamah Ibnu Baz

“Wahai Syaikh, para mahasiswa itu terkadang tidak faham bagaimana cara berbuat sopan di hadapan para masyaikh. Karena itu seharusnya Syaikh bisa bersikap bijak terhadap mereka dan bersabar atas perlakuan mereka.”

Syaikh kemudian menjelaskan kepada beliau, “Anda wajib mengajarkan kepada mereka sopan santun, menjadikan mereka terdidik, bertindak bijak terhadap mereka, tidak muda emosi akan kesalahan yang ada pada mereka. Anda sendiri pasti tahu bahwa Anda adalah orang yang lebih pandai dari kita semua. Kita harus bersabar menghadapi mereka dan berdiskusi dengan mereka dengan cara yang hikmah.”

Bacaan lanjut:

Memetik Faidah Akhlaqiyah dari Kisah Al-Allamah Ibnu Baz

Grand Mufti authors advice to Friday sermonizers

Sheikh Abdul Aziz Aal Al-Sheikh, the Grand Mufti of the Kingdom, has said in a new book entitled “Advice to Sermonizers” that Friday sermons should be used to “correct behavior and promote good morals in the best way possible” and not to “name and shame specific persons”. “It is not appropriate for sermonizers to mention the names of specific people, their task is to show the truth and refute falsehood and handle issues in accordance with Shariah and following the methods of the Quran and the Sunna,” the Grand Mufti says in the book.
 
He also calls upon sermonizers to warn society against the dangers of terrorist ideology, deviation and falsehood, particularly in current times, which he describes as witnessing “division, innovation, superstition, temptation, ignorance, corruption and evil” and “calls to falsehood and deception by encouraging and supporting the enemies of Islam and their supporters who have exploited the weakness and ignorance of Muslims”.
 
“We are facing at this time an unjust media and challenges from our enemies against our religion, our leadership, our Ummah, our prosperity, our social life, our unity, and our harmony,” the Grand Mufti writes. “There are calls to deviation, deviant views and unfair media campaigns, and the sermonizer should be aware of everything that damages the Ummah and warn it of evils.”
 
Aal Al-Sheikh also said that sermons should not be used for insults, defamation and vulgar expressions, but that they should be used to correct erroneous ways. “Vice cannot be changed by vice, instead vice and errors are corrected by good deeds, truth and honesty, and by showing people the truth,” he writes. “Advice to Sermonizers” is the 14th work in a series of books from the Public and Media Relations Administration at the Ministry of Islamic Affairs. It describes the sermon as of “great importance in Islam and of great beneficial value as one of the rituals of Islam”.

Monday, January 03, 2011

Adab Para Ulama Dahulu

قال ابن سيرين: إذا بلغك عن أخيك شيء فالتمس له عذرا، فإن لم تجد له عذرا فقل لعل له عذرا. أخرجه ابن عساكر بسنده

Berkata seorang alim bernama Ibn Sirin, "JIka kamu mendengar sesuatu (yang keburukan/kejahatan) mengenai saudara kamu, maka carilah untuk dia apa jua keuzuran (alasan / excuses). Jika kamu tidak dapat jumpa atau fikirkan keuzuran, katakanlah, "mungkin dia ada keuzuran (yang akau tidak tahu)." Riwayat Ibn `Asakir dengan sanadnya.

أخرج الإمام البيهقي بسنده في شُعَب الإيمان إلى جعفر بن محمد قال: إذا بلغك عن أخيك الشيء تنكره فالتمس له عذرا واحدا إلى سبعين عذرا، فإن أصبته، وإلا، قل لعل له عذرا لا أعرفه.

Kata yang sama diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dari Jakfar bin Muhammad.

Kata-kata ini begitu masyhur di kalangan orang dahulu sehingga sebahagian orang awam sangka yang ia adalah hadits.

Demikianlah adab para ulama dahulu :)

http://www.islamweb.net/ver2/fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Id=45706&Option=FatwaId

(Kredit kpd Ust Muhammad Haniff Hassan yang telah terbitkannya di statusnya di FB.)

Thursday, December 02, 2010

Ayat Paling Agung

Tahukah anda Ayat Kursi ayat paling agung di dlm al-Quran? Sebagaimana dijawab Ubay bin Kaab ketika ditanya Nabi shallAllahu 'alaihi wa sallam (Shahih Muslim: 810). Ini disebabkan nilai-nilai Tauhid di dalamnya. Namun, yakinkah anda?

"Jika anda dengan tulus membaca ayat Kursi (pada peristiwa-peristiwa yang ditimbulkan syaitan) dengan benar, niscaya hal itu akan sirna. Sesungguhnya tauhid dapat mengusir syaitan." (Ibnu Taimiyyah, al-Furqan
baina Auliya.ir Rahman wa Awliya.isy Syaithan)

Imam Ibnu Taimiyyah berkata, "Orang-orang yang ikhlas dan beriman tidak dapat diganggu (dikuasai) oleh syaitan-syaitan. Oleh kerana itu, mereka akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. Mereka juga lari dari Ayat Kursi, ayat terakhir dari surah al-Baqarah, dan ayat-ayat pilihan lainnya dari al-Quran.

Di antara kalangan jin ada yang memberitakan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi masa yang akan datang kepada para dukun dan yang lainnya dari apa yang mereka dapat curi dengar. Dahulu, terdapat banyak dukun di negeri Arab. Namun, ketika tauhid tampak dominan, para syaitan pun lari & sirnalah atau berkuranglah jumlah para dukun. Kemudian, hal itu muncul di daerah-daerah yang tidak tampak pengaruh tauhid di dalamnya." (An-Nubuwwaat: I/280)
Beliau juga berkata: "Peristiwa-peristiwa yang ditimbulkan oleh syaitan seperti ini akan sirna dan semakin melemah jika disebutkan nama Allah, tauhid kepadaNya, dna dibacakan ayat-ayat pilihan dari al-Quran, terutama Ayat Kursi, sesungguhnya bacaan itu dapat menghilangkan seluruh keanehan-keanehan yang ditimbulkan oleh syaitan." (an-Nubuwwaat: I/283)
(Ditukil dari buku "Keagungan Nilai-Nilai Tauhid dalam Ayat Kursi" oleh Syaikh 'Abdurrazzaq bin 'Abdul Muhsin al-Badr, terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi'i. Judul asli: Aayatul Kursii wa Baraahiinut Tauhiid)

Panduan Mudah & Ringkas Merawat Sihir

Berikut panduan mudah dan ringkas dalam merawat gangguan sihir (dan boleh juga untuk gangguan jin):

Isi air ke dalam baldi lalu bacakan ke dalamnya:
  • Ayat Kursi
  • Surah al-A'raf ayat 117-120
  • Surah Yunus ayat 79-82
  • Surah Thaha ayat 65-70
  • Surah al-Kafirun
  • 3 Qul (Surah al-Ikhlash, al-Falaq & an-Nas)
Kemudian sebahagiannya dibuat untuk minum. (Boleh juga bacakan pada sebotol air bersebelahan baldi, lalu air dalam botol itu digunakan untuk minum.) Yang lainnya digunakan untuk mandi.
Siram air di kepala, kemudian bahagian tubuh yang lain. Pastikan merata ke seluruh tubuh.

Kalau dapat 7 helai daun bidara, hendaklah ditumbuk dan dicampurkan dengan air bacaan di atas. Ini lebih utama.

(Rujukan: Risalah Sihir Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz)

Boleh juga ditambah dengan bacaan surah al-Fatihah pada awalnya.

Kalau "malas", surah al-Fatihah, Ayat Kursi dan 3 Qul memadai. (Boleh ditambah "Aamanar rasuul..", yakni dua ayat terakhir surah al-Baqarah.)

Wallahu a'lam

Thursday, November 25, 2010

Si Dia Datang Lagi...

Kawan: Farhan, si dia datang lagi minggu ni..

Aku: Biarlah.. Bukan kali pertama.. Dan mungkin juga bukan untuk kali terakhir.. Pengikut dan peminatnya ramai di sini.

Kawan: Takkan kita berdiam diri je...

Aku: Diam tak bererti tak buat apa-apa. Yang penting, kita paparkan as-Sunnah di dalam kehidupan kita, khususnya di dalam akhlaq dan muamalah kita. Juga, janganlah kita cepat melatah dan cepat menghukum orang.

Aku: Ingatlah.. Ahlus Sunnah paling mengetahui haq dan paling bersifat rahmah sesama makhluk.

(Facebook, Selasa, 23 November 2010, 1.42 ptg)

===================================

Sudahkah kita memahami as-Sunnah? Apakah kita beranggapan as-Sunnah adalah dengan memakai seluar separuh betis, menyimpan janggut panjang segenggam, bersedekap tangan di atas dada (di dalam shalat), dan tahrik (menggerak-gerakkan jari) di dalam tasyahhud?

[Apakah hal-hal tersebut ciri-ciri yang mesti ada pada Ahlus Sunnah? Seakan-akan ianya "madzhab fiqh" yang mesti diikut? (Bunyinya sahaja dah taqlid, lalu bagaimana mungkin mendakwa ittiba' as-Sunnah?) Atau hal-hal tersebut masih terangkum dalam masalah khilafiyah?]

Sebagaimana Islam, as-Sunnah adalah cara hidup yang menyeluruh. Tiada ertinya mengaku pejuang Sunnah dan melakukan perkara-perkara di atas sekiranya akhlaq dan muamalah kita tidak menuruti as-Sunnah.

[Dan Imam al-Barbahari berkata di awal kitabnya Syarhus Sunnah, "Ketahuilah bahawa sesungguhnya Islam adalah as-Sunnah, dan as-Sunnah adalah Islam; tidak tegak salah satu daripadanya melainkan dengan yang lainnya."]

(Facebook, Rabu, 24 November 2010, 1.35pg, dengan sedikit ubah-suai. Kata-kata dalam kurungan merupakan tambahan.)

Amal Shalih adalah taufiq dan hidayah dariNya

Terjaga pada pukul 5.20 pagi. Tak rasa macam aku tidur. Sepanjang tidurku terganggu.

Yang paling jelas, ada makhluk memelukku dari belakang semasa tidur! Aku baca ta'awwudz lalu menyembuh ke kiri tiga kali. Sambil terbaring, terdengar suara hembusan di dalam bilik!

Ya Allah...

Terlintas di fikiran bahawa Ayat al-Kursi pun tidak berkesan, tak guna dibaca sebelum tidur.

Sehingga...


Aku terbaca post seorang teman di Facebook. Dia menyebutkan bahawa ketaatan dan amal shalih terasa berat untuk dikerjakan kerana ianya tidak disukai hawa nafsu. Amal shalih itu adalah taufiq dan hidayah dari Allah subhanahu wa ta'ala.

SubhanakAllahumma wa bihamdika, Allahummaghfirli.. Rasanya aku terpedaya awal tadi. Awalnya sebelum tidur aku merasa lega kerana malam ini badanku terasa "ringan". Dan aku gembira dapat membaca al-Qur'an seperti biasa.

Barangkali aku lalai, aku lupa mensyukuri Rabb al-'Alamin bahawa amal shalih dengan taufiq dan hidayah dariNya. Perlindungan itu adalah denganNya, bukan dengan amalan kita.

Astaghfirullah wa atubu ilaih..  

Bismillahi arqi nafsi, min kulli syai'in yu.dzini, wa min syarri kulli nafsin au 'ainin hasid, Allahu yasyfini, Bismillahi arqi nafsi.

(Update dari Facebook, 23 November 2010, dengan sedikit ubah-suai.)

Iktibar dari Penubuhan Kerajaan Arab Saudi

Kepimpinan & pentadbiran negara diserahkan kepada keluarga As-Saud. Tanggungjawab hal ehwal agama diserahkan kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan murid-muridnya. Yakni, sesuatu urusan diserahkan kepada ahlinya.

Barangkali sebahagian masjid-masjid di Singapura perlu menerapkan konsep ini agar pentadbirannya cemerlang, program agama dan dakwah terpandu dengan baik.

(Update dari Facebook, 22 November 2010.)

Friday, November 19, 2010

Keagungan Takbir (Sempena Eidul Adha)

Bertakbirlah mengagungkan Tuhanmu
Bertakbirlah memuji dan mengesakanNya
Hingga jiwa kerdil merasa kebesaranNya
Meningkat ketaqwaan dan kepatuhan kepadaNya
Berlarilah syaitan-syaitan jengkel ketakutan
Terbatallah makar-makar tukang sihir yang kedengkian
Bertakbirlah wahai orang-orang yang beriman


(c) Ibn Shamsud-Deen
17112010

Khutbah Eid Syeikh as-Sudais

Intipati khutbah Eid yg disampaikan Syeikh Sudais:

Kepentingan Wasitiyah (kesederhanaan) dan Tawazun (keseimbangan), berdasarkan manhaj nubuwwah.

Tuesday, November 02, 2010

Dikau yang dimuliakan

Meninggalkan keluarga tersayang
Teman-teman yang kan selalu dikenang
Demi merantau ke negeri orang
Mencari ilmu yang luas terbentang
Menuntut dari ulama yang terbilang
Tingginya nilai thalibul 'ilm tak terpandang
Pengorbanannya bukan senang

Adapun kita org jalanan
"Penuntut sambilan"
Diri jangan terlampau dimuliakan
Lebih dari kenyataan

Dan aku persembahkan
Ini sajak kecil nilaian
Kepada mereka yang berkorban
Demi ilmu yang didahagakan
Demi agama yang menjadi pegangan
Dikaulah thalibul 'ilm yang dimuliakan
Tak mungkin daku seperti kalian
Hanya dapat aku cintakan

(c) Ibn Shamsud-Deen
021110

Monday, October 04, 2010

Djamal Tukimin: Sasterawan Yang Tidak Dikenali?

Djamal Tukimin seorang sasterawan kelahiran Singapura. Namun, tidak pernah aku mengenalinya kecuali melalui sebuah profil yang pernah tersiar di akhbar Berita Harian beberapa ketika lalu.

Ada semacam tarikan pada dirinya tetapi aku tidak pasti apa ketika itu.Yang biasa aku baca adalah seperti Peter Augustine Goh dan Suratman Markasan. Oh, dan ada kalanya Mahsuri SN dan beberapa penulis lain yang kurang ku kenali.

Novel "Imam Menziarahi Tanah Bonda" (Buku 1) adalah karya Djamal Tukimin yang pertama ku ketemui.Tidak pernah aku terserempak dengan karyanya sebelum ini.

Aku amat tertarik apabila aku terlihat novel ini dijual di Salaam Media. Yang menarik lagi adalah penyifatan "Sebuah Novel "Salafi"" yang tertera di kulit mukanya.

Mungkin kerana aku pernah menisbahkan diri sebagai Salafi, ataupun kecenderunganku pada fahaman tersebut yang juga dikenali sebagai "kaum muda", yang membuatku tertarik untuk membeli dan membaca novel ini.

Aku bangga menganggap diriku sebagai seorang pelajar Sastera Melayu, walaupun sekadar mempelajarinya di peringkat sekolah menengah. Namun, tidak mungkin aku menganggap diriku sebagai ahli, tidak pula sebagai pelajar yang setara dengan mereka yang menuntut di universiti. Ianya lebih sekadar minat dan kegemaran semata-mata.

Persoalan yang ingin aku utarakan di sini adalah penyifatan genre Islami sebagai "genre Sufisme". Begitulah yang aku pelajari dulu. Hingga kini aku menganggapnya sebagai suatu penyifatan kurang wajar kerana "genre Sufisme" itu barangkali suatu genre yang jauh lebih khusus berbanding tulisan-tulisan Islami yang lain.

Tulisan yang berisikan unsur-unsur Sufisme seperti falsafah Jalaludin Rumi dan Hamzah Fansuri memang wajar disifatkan sebagai "genre Sufisme". Namun, tulisan yang bertemakan Islam tetapi langsung tiada unsur Sufisme, bagiku tidak wajar disifatkan sebagai tulisan "genre Sufisme".

Penulis seperti Djamal Tukimin dan Prof Hamka tidak mungkin dan wajar disifatkan sebagai penulis "genre Sufisme" kerana mereka tidak berpegang kepada fahaman Sufisme, sejauh pengetahuanku. Penyifatan itu lantas tidak adil bagi mereka.

Barangkali istilah "genre Sufisme" muncul disebabkan kuatnya pengaruh tasawwuf/Sufisme di dalam penulisan sastera, khususnya Jalaludin Rumi dan Hamzah Fansuri.

Namun, aku lihat perlunya digariskan perbezaan antara tulisan bertemakan Islam dan "genre Sufisme". Bagiku, karya Djamal Tukimin dan Prof Hamka mengukuhkan keperluan ini, untuk mengelakkan kekeliruan dan kesamaran.

Kembali kepada pembicaraan ketokohan Djamal Tukimin, aku difahamkan oleh Encik Abdul Kader dan temannya di Salaam Media bahawa novel "Imam Menziarahi Tanah Bonda" ini laris dijual di Perlis. Namun, menurut teman Encik Kader, ianya tidak mendapat sambutang di Singapura.

Aku mengatakan bahawa hanya mereka yang mempelajari Sastera Melayu yang akan mengenalinya. Hmm, kini aku terfikir, benarkah? Sejauh mana kebenarannya? Mungkin kenalan yang mendalami Sastera Melayu di peringkat universiti boleh mengongsi pandangan dan meluruskan kefahamanku.

[Mungkin juga kerana mereka yang menisbahkan diri sebagai "Salafi" atau "orang Sunnah" tidak minat membaca novel atau bahan sastera.]

Aku mengatakan kepada diriku, barangkali ini novel "Salafi" yang pertama yang aku akan baca. Benar, ianya berlatarkan suasana kampung di Singapura pada tahun 30an ke 40an, serta perkembangan da'wah "kaum muda" di Singapura. Da'wah Salafi di Singapura pada tahun 40an? Benar!

Siapa sangka? Sebahagian Salafi di Singapura menganggap Da'wah Salafi di Singapura merupakan perkembangan yang "terkini" dengan bertambahnya bilangan pelajar tempatan yang lulus dari Universiti Islam Madinah. Paling-paling pun ada anggapan bahawa ianya bermula di sini setelah pulangnya lulusan Madnah yang pertama (walaupun fakta ini kurang diketahui di kalangan Salafi) atau  (yang lebih masyhur) setelah pulangnya seorang lulusan Universiti Ummul Qura.

Ternyata tidak. Djamal Tukimin membuktikannya di dalam novel tersebut. Walaupun cerita rekaan, namun pasti ianya berlatarkan keadaan yang benar-benar terjadi.

Tidaklah aku sangka adanya sasterawan tempatan yang sefahaman dengan Prof Hamka. Mungkinkah keilmuan Djamal Tukimin dalam ilmu agama setaraf dengan Prof Hamka? Aku tidak pasti.

Yang pasti, Djamal Tukimin memaparkan dirinya sebagai seorang yang memiliki ilmu yang mantap berkenaan fahaman "kaum muda" sekaligus seorang sasterawan.

Tidaklah keterlaluan rasanya kalau Djamal Tukimin disifatkan sebagai "Hamka Singapura".

Hanya saja masyarakat tempatan masih belum atau kurang mengenali Djamal Tukimin...

Oleh: Ibn Shamsud-Deen, 031010

Ulasan Novel "Imam Menziarahi Tanah Bonda" (buku 1)

(Sebuah Novel "Salafi" oleh Djamal Tukimin)

"Imam Menziarahi Tanah Bonda" (Buku 1) mengisahkan anak muda bernama Samaun yang pulang ke Kampung Tempe setelah 10 tahun menghilang. Samaun yang dahulunya terkenal dengan tabiatnya memikat burung kini bergelar "ustaz". Ternyata semasa "kehilangannya" Samaun menuntut ilmu agama di sebuah madrasah yang dipengaruhi gerakan da'wah Muhammadiyah yang sering dilabel sebagai membawa fahaman "kaum muda".

Kepulangan Samaun mengukuhkan lagi usaha da'wah Pak Kasman, seorang pendatang Jawa yang berusaha membangunkan kembali masjid usang yang dibangunkan arwah datuk Samaun, Haji Ramli.
Samaun dan Pak Kasman rupanya sefahaman, bersama berganding bahu membangunkan masjid peninggalan Haji Ramli sebagai pusat da'wah, tajdid dan islah di tengah-tengah masyarakat yang semakin jauh dari agama, apatah lagi dari pemahaman agama yang murni yang mengembalikan masyarakat kepada al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan pemahaman Salafus Shalih.

Cabaran dan rintangan lumrah dalam liku-liku da'wah, termasuklah tuduhan "Wahabi' dan ajaran sesat.

Ikutilah perkembangan da'wah Pak Kasan dan Samaun melalui tulisan Djamal Tukimin, gerakan da'wah "kaum muda" berlatarkan suasana kampung di Singapura.

Pembaca pasti akan menanti-nantikan perkembangan lanjut pada buku 2...

Oleh: Ibn Shamsud-Deen, 031010


Pengenalan Ringkas Djamal Tukimin
(Tukilan dari kulit muka belakang novel "Imam Menziarahi Tanah Bonda" (Buku 1))

Djamal Tukimin dilahirkan di Geylang Serai, Singapura pada 20 Oktober 1946. Penglibatannya dalam sastera Melayu ketika beliau menyertai peraduan menulis cerpen sempena Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan Singapura pada tahun 1963. Cerpen tersebut memenangi hadiah pertama dan dimuatkan dalam majalah Suara Belia terbitan 4PM (1963). Selepas itu Djamal sering memenangi peraduan baca dan menulis puisi (sajak).

Ketika ni, beliau banyak memberi ceramah, menjalankan kursus sastera dan banyak menulis kertas-kerja terutama bidang sastera dan teater di samping budaya dan agama, sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

Thursday, September 16, 2010

Fenomena Masjid Yang Sunyi...

Masjid yang sunyi
Kurang yang menghadiri
Solat lima kali sehari
Andai penuh satu atau dua saf
"Masha-Allah, boleh kena loteri"

Masuknya Ramadhan
Berduyun-duyun "jemaah" membanjiri
"Masha-Allah, semangat ini.."
Namun
Lapan rakaat pun berlalu
"Subhanallah! Separuh dah pergi.."

10 malam telah berlalu
Hanya separuh dewan terpenuhi
"Aduhai apa nak jadi
Tengoklah nanti
3/4 akan pergi.."

Separuh Ramadhan telah berlalu
Terasa lemah masjid ini
Jemaah yang menghadiri
Hanya 1/3 dewan terpenuhi
"Mana jemaah? Mana jemaah?"
Terdengar MMB 'berbunyi'
Terdetik di hati ingin bersuara
"Podah.. kau tu apa kurangnya?
Seringkali kau tiada.."
Tak mengapa, bersabarlah
Sesungguhnya aku berpuasa

Lalu dijemput Ustaz TM Fouzy
Berduyun-duyun "jemaah" membanjiri
MMB tersenyum kembali
"Dah kembanglah tu.."
Kata budak muda masa kini
Tentulah.. hati pun dah berkata
"Duit masuk.. duit masuk.."

Wartawan dipanggil turun
"Liputan berita woi, ini satu kejayaan!"
"Lebih 400 jemaah kedatangan
Dari timur, barat, utara dan selatan!"

Wahai Tuan Naib-Pengerusi
Senang benar anda tersenyum
Cepat benar anda bergembira
Apakah benar "kejayaan"
Atau kemenangan sementara?
"Jemaah" yang hadir
Jemaah kita atau jemaah mereka?

Takbir bergema di pagi Jum'ah
Menjelma Syawal yang mulia
Sayangnya aku tiada di sana
Tak dapatlah aku nak berkata

Hari keempat aku mendatangi
Bersolat berjemaah yang biasa ku lazimi
Kini giliranku bertanya
"Mana jemaah? Mana jemaah?
Yang kamu heboh-hebohkan
Di manakah mereka?"
Jangankan satu
Separuh saf pun tak terpenuhi
Masjid lemah kembali
Imam dan bilal, semangat pun pergi
"Apa yang nak dikeluhi?
Saban tahun kan memang begini
Inikan lagi
Kelas-kelas agama hanya kan bermula
Sebulan lagi.."

"Eh ape dah?
Inikah cara tarik jemaah?
Anda yang merencana
Anda yang menghancurkannya!"

Itulah, wahai Tuan Naib-Pengerusi
Cepat bergembira, cepat puas hati
Sedangkan adakah engkau sedari
Atau engkau cuba menafi
Hakikat sebenar fenomena
Fenomena masjid yang sunyi..

(c) Ibn Shamsud-Deen
16092010

Wednesday, September 08, 2010

Bacaan Yassin di Qubur?

[Berikut adalah perbincangan dengan seorang teman. Disklaimer: Saya bukan Ustaz. :)]

Soalan:
Kalau kita menziarahi kubur, apakah perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Adakah boleh membaca Yassin dan sebagainya? Minta penjelasan anda. Terima kasih!


Jawapan:

Pertama sekali, memandangkan konteks masa (nak menjelang Raya), perlu dijelaskan bahawa tiada Sunnahnya utk menziarah kubur di pagi Raya.. Hari Raya hari bergembira, bukan hari bersedih.

[Rujuk: http://drmaza.com/home/?p=1220#more-1220]

[Nota: kalau gitu, bermaafan sampai bernangis2 pun rasanya tak sesuai di pagi raya.. Hari Raya bukan Hari Kemaafan (tu definisi Melayu).. tak perlu tunggu Raya utk bermaafan.. sebaliknya bulan Ramadhan lah yg terbaik utk bermaafan.. wallahu a'lam]

Kedua, yang disunnahkan adalah utk mendoakan SETIAP ahli qubur, bukan ahli keluarga kita yg telah meninggal sahaja.

[Rujuk: http://www.makedua.com/display_dua.php?sectionid=56]

Ketiga, memperingati mati ketika berziarah kubur, kerana itulah tujuan utamanya.

- "setiap jiwa akan merasakan kematian"
- "dari tanah kita diciptakan, ke dalam tanah kita akan dikembalikan"
- "sesungguhnya dari Allah kita datang, kepadaNya kita kan kembali"

Memandangkan kita telah pun mendoakan setiap ahli qubur, maka tak perlulah bacakan Yasin atau al-Fatihah.

[Renungkanlah.. doa yg Nabi saw ajarkan meliputi setiap ahli qubur.. tetapi bila kita nak "bacakan/hadiahkan" Al-fatihah ataupun Yasin, kita bacakan di sisi qubur ahli keluarga kita, yakni utk ahli keluarga kita je.. tak kah selfish namanya?]

Kalau kita nak juga bacakan Yasin atau al-Fatihah, perlu ambil kira beberapa perkara:

1) Imam al-Syafi'i dan rata2 ulama mazhab Syafi'i berpendapat pahala bacaan al-Qur'an tidak akan sampai kepada si mati. Boleh rujuk kitab Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Najm, ayat 58 jika tak silap.

2) Kalau kita nak ikut pendapat ulama yang membolehkannya sekalipun (yakni yg mengatakan pahala bacaan tersebut sampai kepada si mati), spt pendapat mazhab Hanafi, satu pendapat daripada Imam Ibn Taimiyyah dan segelintir ulama Saudi spt Sheikh al-Bassam, perlu kita ketahui:

a) tiada seorang pun di kalangan ulama tersebut yang mengkhususkan agar dibaca surah al-Fatihah ataupun surah Yasin.

b) mereka tidak menyuruh agar dibaca di quburan atau di sisi qubur. [Mungkin agar quburan tidak dijadikan tempat ibadah.] Membaca Quran di quburan tiada contoh dari Nabi saw mahupun para Sahabat, maka dikhuatiri menjadi bid'ah.

Makanya, kalau nak pakai pendapat ini sekalipun, bolehlah diamalkan di rumah atau di masjid secara sendirian. (yakni dlm kita mengaji Quran, boleh niatkan sekali agar pahala dihadiahkan kpd si mati.)

c) walau apa pun, pendapat ini adalah berdasarkan qiyas dan hujjah tertentu, namun tetap tiada contoh dari Nabi saw mahupun para Sahabat ridhwanullah 'alaihim.

Wallahu a'lam