Tetiba kecoh di Facebook berkenaan kenyataan MM Lee. Ku sangkakan "hujan lebat", lah.. "gerimis" je.. kenapa harus kita melatah dalam respons kita terhadapnya? Sehingga ada yg mencemuh beliau dgn keras.. Subhanallah.. begitukah akhlak kita sebagai Muslim? Bukankah kita umat Muhammad? Lupakah kita bahawa Rasulullah pernah dilempari najis dan batu? Apakah Baginda "melatah", apatah lagi mencemuh? Tidak.
Lalu mengapa kita tidak menunjukkan akhlak dan keperibadian yang sama, wahai Umat Muhammad?
Di laman (
http://www.mysinchew.com/node/51920 ), MM Lee ditukil sebagai berkata:
"I think the Muslims socially do not cause any trouble, but they are distinct and separate," Lee added, calling on the community to "be less strict on Islamic observances."
Kalau kita sekadar mengambil bahagian "be less strict on Islamic observances", memang kita akan melatah dan mendakwa beliau memperkecilkan agama Islam.
Akan tetapi, kita perlu adil dalam "menghukumi" atau menilai kenyataan beliau. "socially do not cause any trouble" menunjukkan beliau mengiktiraf usaha kita hidup bersama sebagai warga negara Singapura.
Namun, "isu"nya adalah "they are distinct and separate".
Di sini, saya ingin menguas poin tersebut. Dan saya amat menyetujuinya.
1) Sebahagian Muslim di Singapura insist untuk memakai jubah dan serban, walaupun dalam pengangkutan awam.
Di sini, saya tak katakan tak boleh berjubah dan berserban tetapi perlukah? Kalau menghadiri majlis tertentu, seperti sebahagian pengikut tasawwuf dengan majlis qasidah dan Maulidur Rasul, memanglah sesuai.
Tetapi untuk membiasakannya, perlu kita renungkan dengan teliti. Kerana ianya membuat kita terlalu distinctive dan mengasingkan diri. (Yelah, kalau dah berjubah, takkan ke ECP dalam jubah kan? Atau ke Orchard dengan berjubah.)
Muslim Singapura majoritinya berbangsa Melayu, dengan sebahagiannya berbangsa India. Jubah dan serban bukanlah budaya kita. (Di sini saya sengaja tak sebutkan bangsa Arab, bukan untuk meminggirkan mereka tetapi untuk memudahkan penyampaian.)
1.1) Apakah dianjurkan berjubah?
Tidak. Tiada anjuran dari Nabi saw. Yang ada adalah anjuran utk memakai menutup aurat.
1.2) Bukankah Sunnah untuk pakai jubah?
Benar, ianya Sunnah dalam erti Nabi mengamalkannya. Namun, perlu kita bezakan antara Sunnah Tasyri' (yg disyariatkan menjadi amalan agama) dan Sunnah Adah (sunnah disebabkan adat kebiasaan).
Nabi saw merupakan orang Arab, tentulah Baginda pakai jubah. Andaikata Baginda orang India, Baginda akan pakai kurta.
Juga, jubah zaman Nabi saw tidak sama dengan jubah zaman sekarang. Begitu juga serban. (Serban pun ada macam-macam jenis. Bahkan, ada orang Arab mengatakan, serban yang dipakai orang Melayu lebih kepada serban jenis yang dipakai orang Pakistan, bukan jenis yang orang Arab pakai. Seharusnya pakai seperti orang Arab sebab ada riwayat di mana Nabi saw mengajarkan Bilal cara memakai serban seperti orang Arab kerana beliau berjuang bersama-sama orang Arab.)
Jadi, berjubah itu wajib tidak, sunat pun tidak. Mubah sahaja. Seseorang akan dapat pahala berdasarkan niatnya, seperti memakai jubah kerana Nabi suka dan biasa pakai jubah.
1.3) Islam tidak datang untuk menghapuskan sesuatu budaya.
Imam Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa Islam tidak datang untuk menghapuskan sesuatu budaya tetapi untuk mencantikkannya lagi (bersesuaian dengan ajaran Islam).
Ini bererti datangnya Islam kepada bangsa Melayu bukannya untuk menghapus budaya baju kurung/baju Melayu dan menggantikannya dengan jubah Arab. Kalau tak, agama Islam jadi agama yg ashabiyah atau racist sehingga memuliakan orang Arab melebihi bangsa lain. Sedangkan ajaran Islam menganjurkan konsep "semua manusia sama, yg membezakan adalah taqwa".
Kalau zaman sekarang, "adat"nya adalah untuk berkemeja dan seluar. Apakah salah sedemikian? Tidak, selagi menepati konsep menutup aurat serta sopan dipakai.
2) Sebahagian Muslimin insist pakai pakaian separuh betis atau atas buku lali.
Dahlah berjubah, terlampau singkat pula tu. Orang Arab pun tak pakai singkat macam tu.
Kalau nak ke pasar atau ke East Coast, memang elok pakai seluar 3/4 atau bermudas atau yang separuh betis. Pergi masjid dengan pakaian sedemikian, dianggap kurang sopan atau tidak sempurna (menurut masyarakat Melayu). (Usah kita lupa, agama/hukum Islam turut mengambil kira 'urf atau adat masyarakat.)
Takkan nak ke pejabat pakai seluar separuh betis? Kalau nak jadi badut dan ditertawakan, silakan. Benar, kita nak amalkan Sunnah. Akan tetapi, kalau ianya menyebabkan orang mentertawakan Sunnah, kita perlu tanggung juga.
Apa salahnya panjang seluar tu sampai paras buku lali? Sesuaikanlah dengan keadaan kita.
Apabila Saiyidina Umar menziarahi Syam, beliau dapati Muawiyah isbal dalam berpakaian (ataupun berpakaian labuh) lalu menanyakannya. Muawiyah menjawab bahawa penduduk Syam tidak biasa dengan pakaian yang tidak isbal. [Lagipun, kalau musim sejuk, takkanlah nak pakai pakaian yang singkat. Mencari penyakit tu..]
Namun, ada sebahagian Muslimin yang menganggap seolah-olah pakai seluar separuh betis itu usul (prinsip) dalam agama. Ini jelas cara pemikiran yang bermasalah (dan akan menyebabkan masalah dalam soal-soal lain.) (kenyit mata kepada Ust Haniff. ;) )
3) Janggutnya serabai lah..
Sekali lagi, memang Sunnah. Namun, janganlah sampai menjadi penyebab orang mengejinya.
Andai kita berpendapat tidak boleh trim janggut sekalipun, apa salahnya merapikannya. Pakai minyak zaitun atau hair lotion, rapikannya agar kelihatan kemas. Sebahagian Mat Saleh pun berjanggut walaupun bertugas di pejabat sebagai executive, tetapi mereka tetap jaga penampilan yang baik lagi profesional.
Saya tak ingin ulas panjang bab ini kerana telah pun diulas Yasir Qadhi yang diterbitkan di Muslimmatters.org. Sila rujuk kepadanya.
Duta Saudi dan masyarakat Muslim di Barat
Teringat saya dengan Dr Amin Kurdi, mantan Duta Saudi ke Singapura. Kalau ikutkan, sebagai orang Arab, beliau seharusnya berjubah. Namun, ketika bertugas di Singapura, apakah yang dipakainya? Kemeja, seluar, tali leher dan kot. Kenapa? Sesuai dengan keadaan.
Begitu juga masyarakat Muslim di Barat. Mereka masih berjanggut (baik lebat mahupun yang dipotong rapi). Namun, pakaian kebiasaan mereka adalah kemeja dan seluar, sesuai dengan kebiasaan masyarakat New York (misalnya).
Imam Faisal Abdul Rauf (yang seharusnya memimpin Masjid New York yang ingin dibina), pernahkah kita melihat beliau berjubah? Tidak. Semasa beliau berceramah di sini, tidaklah beliau berjubah. Apakah ianya mengurangkan kedudukan dan kredibiliti beliau? Tidak.
Begitu juga sebahagian khatib di Barat seperti Abdur Raheem Green dan Khalid Barry. Bila jadi khatib jumaat, mereka berjubah tetapi tidak berkopiah. Kenapa? Kerana bukan dari 'urf masyarakat Barat untuk memakai alas kepala bagi kaum lelaki. Bahkan, ada khatib yang sekadar memakai kemeja dan seluar! (Mungkinkah kita melihat Imam di Masjid al-Falah berbuat demikian?)
Dan ramai daripada kita mengenali Nouman Ali Khan, yang boleh disifatkan sebagai mufassir kontemporari. Beliau berjambang tetapi tak pernah berjubah. Penampilan beliau sentiasa kemas dan rapi. Apakah menjejas kredibiliti beliau? Tidak sama sekali. Kerana yang penting adalah penyampaiannya.
[Teringat kisah Imam Abu Hanifah berdebat dengan seorang Ateis. Bila ulama yang hadir tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan si Ateis, Abu Hanifah menawarkan diri untuk menjawab. Si Ateis bertanya, "Siapakah kamu? Para ulama yang berjubah dan berserban tidak mampu menjawab, apakah mungkin kamu menjawab?" Ini disebabkan Abu Hanifah hanya memakai gamis dan kopiah. Imam Abu Hanifah lalu menjawab, "Ilmu itu tidak terletak pada serban dan jubah tetapi terletak di dalam dada."]
Adapun Muslimah di sana, mereka masih berhijab tetapi tidaklah begitu menonjolkan hijab mereka. Mereka masih berpakaian "modern", namun tetap menutup aurat.
Maka, Muslimah Singapura boleh berjubah, tetapi usahlah pakai serba hitam seperti wanita Iran atau Saudi. Pakailah yang ada warna sikit atau ada corak dan manik-manik agar kelihatan cantik dan tetap menutup aurat.
Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum..
Makanya, sebagaimana pepatah Melayu di atas, sesuaikanlah pemakaian dan penampilan kita dengan keadaan dan suasana kita di Singapura. Usah terlalu membezakan dan mengasingkan diri. Memang benar hadith menyebutkan beruntung orang-orang yang asing tetapi apakah yang dimaksudkan hadith itu adalah dalam soal pemakaian? Sedangkan kita sebenarnya dianjurkan berpakaian sesuai dengan kebiasaan masyarakat.
Tulisan ini sekadar pandangan saya secara peribadi. Dan hanya menyentuh soal pemakaian dan penampilan yang bagi saya penting sebab ianya mempengaruhi
first impression. Memang benar ada aspek lain yang perlu dibincangkan, seperti adab interaksi dengan non-Muslim.
Perlu juga kita menimbangkan maslahat. Kalau kita terlalu membezakan diri dari segi penampilan, ianya akan menjejas usaha kita untuk mendekati masyarakat bukan Islam. Lalu bagaimana kita akan berdakwah?
Pada setiap tempat ada cara dan pekertinya. Hendaklah kita adaptasi diri sesuai dengan pepatah Melayu di atas, selagi mana tidak bercanggah dan menyalahi Syarak.
Sebagai canda untuk menutup tulisan ini, saya menukil Ustaz Akhil Hayy:
"Masuk kandang kambing mengembek,
Masuk kandang lembu mengembu,
Masuk kandang kerbau mengembau,
Masuk kandang harimau, kau masuk seorang, aku tak nak."
Kekeke. =)